DUO tonggak Denmark, Christian Eriksen (kiri) dan Rasmus Hojlund berlatih bersama. FOTO Agensi
DUO tonggak Denmark, Christian Eriksen (kiri) dan Rasmus Hojlund berlatih bersama. FOTO Agensi
Reuters

Stuttgart, Jerman: Duo tonggak Denmark, Christian Eriksen dan Rasmus Hojlund yang beraksi bersama di Manchester United bersedia memacu negaranya pada kempen Euro 2024 kali ini, kata penolong pengendali pasukan Morten Wieghorst.

Jelasnya, kedua-dua tonggak itu sudah mengenali corak permainan masing-masing yang beraksi di bahagian tengah bagi mencorakkan gerakan pasukan Denmark apabila turun menentang Slovenia, Serbia dan England dalam Kumpulan C nanti.

"Pasukan cuba menggunakan sebaik mungkin hubungan dan chemistry yang sudah terbentuk dari kelab bagi memberi kelebihan buat pasukan khususnya apabila bercakap mengenai Eriksen dan Hojlund," katanya.

Untuk rekod, United menutup saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan menjuarai Piala FA selepas menewaskan Manchester City dan menamatkan kempen liga di tangga kelapan, di mana ia dianggap pencapaian terburuk kelab itu.

Begitupun, Wieghorst melihat persefahaman gandingan itu boleh memberi kelebihan buat Denmark.

"Sejujurnya, kejayaan Denmark di pentas antarabangsa pada era 80an dulu banyak dipengaruhi oleh kehadiran pemain dari Ajax dan Anderlecht, di mana persefahaman pemain ketika itu cukup ampuh sejak bermain bersama di kelab.

"Mereka kemudian dikumpulkan dan akhirnya membuat kejutan apabila menjuarai Euro 1992 yang cukup manis buat bola sepak negara kami.

"Ramuan sama boleh digunakan dan tidak mustahil kejayaan dapat diulangi lagi pada edisi kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 8:16 AM