NOOR AZMAN (dua dari kiri) yang hadir mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM. -FOTO FAM
NOOR AZMAN (dua dari kiri) yang hadir mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung pada September ataupun Oktober ini sudah pastinya menarik perhatian ramai apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih lawan 'gred A' untuk beraksi pada perlawanan itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan badan induk itu akan menjemput pasukan yang berada pada Balang 1 ataupun Balang 2 untuk Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan mula membuka tirainya, Mac tahun depan.

"Persiapan kita adalah untuk menganjurkan Pestabola Merdeka membabitkan empat pasukan. Kita juga ada perancangan untuk menganjurkan satu atau dua perlawanan persahabatan pada bulan Oktober nanti.

"Kita belum putuskan lagi pasukan untuk Pestabola Merdeka tetapi kemungkinan kita akan memanjangkan pelawaan kepada pasukan pada minggu depan.

"Kita akan ambil (jemput) pasukan daripada Balang 1 dan Balang 2 bagi Kelayakan Piala Asia 2027," kata Noor Azman pada sidang media selepas mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM.

Berdasarkan ranking semasa, Malaysia menjadi pasukan terbaik dari Balang 2 dan pasukan yang turut mengisi Balang 2 adalah Filipina, Turkmenistan, Afghanistan, Singapura dan Yaman.

Balang 1 pula terdiri daripada Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam, Lubnan dan juga India.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengharapkan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim sentiasa menjaga kesihatannya selepas tampil buat kali pertama pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC (SFC) hari ini.

"Faisal menunjukkan perkembangan yang baik dan kami berharap beliau akan bertambah sihat dari semasa ke semasa. Kita harap Faisal dapat memastikan tahap kesihatannya dan kita sentiasa berharap beliau dapat berada kembali dalam arena bola sepak negara.

"Mungkin juga dapat kembali mewakili skuad negara pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:35 PM