BARISAN jawatankuasa yang hadir pada mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM. -FOTO FAM
BARISAN jawatankuasa yang hadir pada mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap berpuas hati dengan pencapaian skuad Harimau Malaya walaupun 'tersungkur' pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan pencapaian skuad negara yang berjaya meraih 10 mata pada kempen kelayakan kali ini membuktikan mereka mampu memberi saingan di peringkat Asia.

"Kita agak kecewa kerana tak dapat lepasi pusingan seterusnya tetapi ini menunjukkan pasukan kita sudah berada di peringkat Asia. Sebelum ini mungkin kita lihat kita di peringkat Asean sahaja.

"Dengan 10 mata yang kita dapat, itu satu keputusan yang agak baik cuma kita kurang bernasib baik kerana kita tidak dapat melangkah ke pusingan seterusnya.

"Kita menang semua perlawanan dengan pasukan di ranking bawah kita dan kita dapat seri menentang Kyrgyzstan, cuma agak malang kita tidak berjaya ke peringkat seterusnya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO FAM di Wisma FAM.

Sebagai rekod, skuad negara menamatkan di tangga ketiga Kumpulan D walaupun meraih 10 mata di belakang Oman selaku juara (13 mata) dan Kyrgyzstan (11 mata).

Beberapa pasukan lain termasuk Indonesia yang meraih 10 mata, Korea Utara (9 mata), China (8), Palestin (8) dan Kuwait (7) berjaya mara selaku naib juara kumpulan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Yusoff turut mengesahkan tiada perbincangan dilakukan membabitkan kontrak Pan Gon memandangkan pengendali dari Korea Selatan itu 'terikat' bersama badan induk itu sehingga tahun depan.

Justeru, Yusoff memaklumkan Pan Gon akan meneruskan 'kerjanya' seperti mana termasuklah aksi Piala AFF 2024 dan Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula, Mac depan.

"Setakat ini, tiada perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan dan kita akan ikut kontraknya yang ada sehingga tahun depan.

"Jadi, Pan Gon akan kekal sehingga tahun depan dan apa sahaja pertandingan sebelum kontraknya tamat akan diteruskan olehnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:07 PM