MAMUT akui tidak sabar untuk beraksi. FOTO GHAZALI KORI
MAMUT akui tidak sabar untuk beraksi. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut mengakui dia bagaikan tidak sabar untuk menjaringkan gol selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang dialaminya.

Tambah pemain kelahiran Croatia itu, dia juga merindui peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya sehingga berjaya meledak 22 gol pada musim lalu.

Bagaimanapun pemain berusia 27 tahun itu akui dia belum pasti sama ada mampu menyumbang tenaganya dalam masa terdekat atau sebaliknya berikutan kecederaan yang dialaminya.

"Terus terang saya katakan tak sabar untuk menjaringkan gol terutama selepas terlepas tiga perlawanan awal bersama TFC dalam saingan Liga Super pada musim ini, saya sayang Terengganu, impian saya mahu jaringkan lebih banyak lagi gol.

"Saya juga tahu peminat setia juga merindui sentuhan, saya pun begitu merindui mereka, namun saya tegaskan situasi sekarang sukar untuk nyatakan sama ada sudah boleh bermain atau perlu berehat lagi.

"Ini kerana saya perlu berjumpa dengan pegawai perubatan TFC dan jurulatih kecergasan terlebih dahulu untuk menilai tahap kesembuhan kecederaan selain faktor kecergasan juga perlu dilihat kerana berehat panjang.

"Lagipun saya tidak mahu terburu-buru selain perlu berhati-hati bagi mengelak kecederaan serius kembali berulang, namun sejujurnya saya harap cepat sembuh bagi memastikan dapat membantu TFC dalam perlawanan seterusnya," kata Mamut ketika dihubungi.

Terdahulu pemain tinggi lampai itu yang dibawa masuk oleh ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner terpaksa berehat panjang akibat kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim.

Berikutan ketiadaan penjaring terbanyak TFC musim lalu itu, Steinbruckner menyandarkan harapan kepada bekas penyerang Kelantan Darul Naim (KDN) musim lalu, Ismaheel Akinade sebagai penyerang utama.

Turut berada dalam senarai pemain skuad Penyu itu penyerang import pasukan 'adik' Terengganu FC II (TFC II) Chuku Chijioke yang sudah meledak satu jaringan bersama skuad itu ketika berdepan Perak FC pada aksi pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 1:41 PM