STADIUM Nasional Bukit Jalil akan menyaksikan pertembungan Harimau Malaya dengan Taiwan, 11 Jun ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
STADIUM Nasional Bukit Jalil akan menyaksikan pertembungan Harimau Malaya dengan Taiwan, 11 Jun ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sudah bersedia sepenuhnya menanti kehadiran pasukan Taiwan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala ASia 2027 pada 11 Jun ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, pihaknya sudah meninjau keadaan padang SNBJ dan badan induk itu mengakui amat berpuas hati.

"Padang SNBBJ amat memuaskan dan kita berpuas hati. Saya rasa stadium dah cukup bersedia dan kita telah bermesyuarat dan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan juga, bagi memastikan tahap keselamatan terjaga.

"Persiapan di pihak PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) baik, dan memang kita amat puas hati," katanya ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Sebelum ini, SNBJ sering menjadi perhatian peminat ekoran keadaan padang yang tidak sesuai.

Ujar Noor Azman lagi, beliau mengharapkan ribuan penyokong dapat hadir memenuhi SNBJ bagi menjadi pemian ke-12 nanti.

"Memang kita harapkan penyokong datang. (Jika) kita menang di Kyrgyzstan dan kita menang dengan Taiwan itu, harapan kita.

"Kita harap kehadiran penuh 80,000 penyokong, memang kita harapkan penyokong bagi sokongan kepada pasukan kebangsaan," katanya.

Skuad negara kendalian Kim Pan-gon bakal turun mengharungi dua baki aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek 6 Jun ini, sebelum bertemu Taiwan di SNBJ lima hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 2:16 PM