PAN Gon tidak bergantung harap hanya pada satu atau dua pemain sahaja. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
PAN Gon tidak bergantung harap hanya pada satu atau dua pemain sahaja. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bersedia 'mencipta dua lagi klon' pemain seperti bintang bola sepak negara, Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi menjelang dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, masing-masing pada 6 dan 11 Jun ini.

Ketiadaan dua tonggak utama itu ekoran masalah kecederaan sememangnya memberi kesan kepada permainan skuad negara yang memerlukan kemenangan dalam kedua-dua aksi itu.

Begitupun pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon melaungkan keyakinan betapa beliau yakin masih memiliki masa untuk mengasah pengganti dua tonggak utama itu nanti.

"Kita kena cari kaedah untuk tampil lebih ampuh dan saya sebenarnya masih yakin masih ada lagi tonggak lain yang miliki kualiti.

"Saya letakkan kepercayaan yang pemain lain juga ada kualiti yang sama dan mungkin mereka lebih bermotivasi serta ini juga peluang keemasan untuk mereka merebut tempat," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, semalam.

Ujarnya lagi, kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya selama ini adalah hasil kerjasama berpasukan dan bukan semata-mata berkisar antara Faisal atau Arif Aiman.

"Sudah tentu Faisal Halim antara pemain paling banyak catat minit dan menjaringkan gol begitu juga dengan Arif Aiman juga, sudah tentu ikutkan teori (ketiadaan mereka berdua) akan beri kesan kepada taktikal pasukan.

"Tapi kita tidak bergantung harap hanya pada satu atau dua pemain sahaja kerana kita bermain sebagai satu unit dan satu pasukan," kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Untuk rekod, Faisal terpaksa disisihkan selepas mengalami kecederaan tahap empat ekoran disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Ketika ini, pemain sayap Selangor FC itu sedang menjalani proses pemulihan selepas berjaya mengharungi empat pembedahan sebelum ini.

Sementara itu, Arif Aiman pula difahamkan mengalami kecederaan di bahagian kaki ketika menjalani latihan bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan tidak beraksi dalam tiga aksi Liga Super bersama skuad Harimau Selatan.

Selain dua tonggak itu, skuad Harimau Malaya juga kehilangan khidmat penyerang naturalisasi Romel Morales yang cedera manakala kondisi penyerang Sabah FC, Darren Lok masih dalam pemantauan akibat kecederaan pada aksi Liga Super hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:09 PM