PT Athletic FC merekrut ramai pemain veteran dan mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia. FOTO Ihsan Putrajaya Athletic FC
PT Athletic FC merekrut ramai pemain veteran dan mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia. FOTO Ihsan Putrajaya Athletic FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: PT Athletic FC yang diibaratkan jelmaan 'Harimau Malaya versi otai' dijangka mampu memberi saingan dalam kempen Liga A1 Semi Pro musim ini sekali gus cuba mencuri tiket ke Liga Super musim depan.

Jolokan 'Harimau Otai' itu dilihat tepat memandangkan ramai bekas pemain kebangsaan dihimpunkan dalam satu pasukan bagi mengharungi saingan kedua liga domestik itu.

Antara pemain yang memperkuatkan PT Athletic adalah bekas penyerang negara, Mohd Amri Yahyah yang akui gandingan pemain senior dan tonggak muda mampu melonjakkan pasukan itu.

"Dengan pemain yang ada, bukan pemain biasa-biasa dalam pasukan ini. Dengan pemain muda yang ada saya tengok semuanya berbakat dan mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.

"Saya harap ini adalah titik permulaan untuk pemain-pemain muda yang ada dalam pasukan ini untuk meningkatkan prestasi juga.

"Mungkin kalau ada rezeki untuk mereka, ada pasukan besar-besar panggil dia orang ke tahap lebih tinggi," kata bekas pemain Selangor FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sabah FC itu.

Kelab itu telah merekrut ramai pemain veteran dan mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia termasuk pernah menjadi tonggak utama skuad Harimau Malaya sebelum ini.

Selain Amri, pemain lain yang diikat adalah Indra Putra Mahayuddin, Syazwan Zainon, Fandi Othman, Adib Zainudin dan S Veenod.Pemain lain seperti Latif Suhaimi, Azarul NazaRith, Qayyum Marjoni, Yusri Yuhasmadi, Nursyamil Abd Ghani dan Hafiz Ramdan antara tonggak berpengalaman dalam kancah liga tempatan.

Tambah Amri, dia yang sebelum ini mengumumkan persaraan pada musim lalu membuat pusingan 'U' untuk beraksi semula bersama PT Athletic selepas 'diugut' rakan-rakan selain atas dorongan keluarga.

"Ini pengaruh kawan-kawan sebab ramai kawan dalam ini. Dia orang 'ugut' saya untuk menyertai pasukan ini, untuk menaikkan pasukan ini dan untuk (bantu) ke peringkat lebih tinggi, InsyaAllah dan saya bersetuju.

"Memang saya mula-mula rasa tak mahu sertai mana-mana pasukan sebab nak fokus dengan keluarga pula. Mungkin dari situ saya tengok kekuarga bagi galakkan supaya masuk baliklah main untuk pasukan ini.

"Ramai pemain-pemain muda dan senior dalam pasukan ini. Saya harap dapat bantu pemain muda ke peringkat tertinggi dan saya harap pasukan ini akan menyerlah InsyaAllah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 2:21 PM