RONALDO mengetepikan rekod Abderrazak selepas mengumpul 35 gol. FOTO AFP
RONALDO mengetepikan rekod Abderrazak selepas mengumpul 35 gol. FOTO AFP
Reuters

Riyadh: Cristiano Ronaldo dari Al Nasr melengkapkan musim penuh pertama Liga Pro Saudi dengan bergaya apabila memecahkan rekod gol terbanyak yang dijaringkan dalam satu kempen.

Pemain antarabangsa Portugal berusia 39 tahun itu menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-2 pasukannya ke atas Al Ittihad pada aksi terakhir musim ini untuk menjadikan jumlah gol liga keseluruhan musim ini kepada 35 gol.

"Saya tidak mengejar rekod, rekod mengejar saya," tweet penyerang itu selepas perlawanan.

Ronaldo meledak gol pada masa kecederaan separuh masa pertama dan sekali lagi pada minit ke-69 dalam aksi di laman sendiri.

Rekod sebelumnya dipegang oleh bekas penyerang Al Nasr dan pemain antarabangsa Maghribi, Abderrazak Hamdallah, yang menjaringkan 34 gol pada 2018-19.

Ronaldo, yang bermain untuk Sporting, Manchester United, Real Madrid dan Juventus, menyertai Al Nasr pada Januari 2023.

Al Nassr sudah pun mengesahkan kedudukan selaku naib juara, ketinggalan 14 mata di belakang Al Hilal.

Ronaldo, yang mengetuai Portugal meraih kejuaraan di Euro 2016, dipilih untuk skuad kejohanan sama edisi tahun ini di Jerman bulan depan iaitu kejohanan antarabangsa ke-11 dalam kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 10:45 AM