Barisan pemain Penang FC
Barisan pemain Penang FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak melihat saingan Liga Super untuk tempat melakukan eksperimen. Hal ini kerana, Akmal Rizal yang juga bekas pemain kebangsaan beranggapan setiap pasukan perlu mempamerkan aksi terbaik bagi memperoleh keputusan positif.

Beliau berkata, tiga keputusan seri berturut-turut yang diraih Penang dalam aksi awal Liga Super musim ini selepas terikat 1-1 dengan PDRM, semalam sebagai keputusan yang positif buat Harimau Kumbang.

"Pemain sudah mengikut apa yang diatur, PDRM bukan pasukan yang mudah. Bagi saya, selepas tiga perlawanan, ini satu keputusan positif yang mana kami seri dengan tiga pasukan yang berada di atas kami musim lalu.

"Seperti saya katakan di awal musim, apabila diberi tanggungjawab ini, saya ingin membina satu pasukan Penang yang baharu dengan menggabungkan pemain senior, import dan pemain muda berbakat.

"Tapi kami tahu dalam Liga Super kami tidak boleh melakukan eksperimen dan tidak boleh mendapat keputusan yang tidak baik. Kami perlu menjaga peminat dan pihak pengurusan kerana kami perlukan keputusan yang baik.

"Selepas tiga perlawanan ini, kami nampak di mana kekurangan dan masih ada ruang perlu diperbaiki. Saya yakin dengan kemampuan pemain yang ada untuk kami memberi saingan lebih baik selepas ini," katanya.

Berkongsi satu mata dengan PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu adalah keputusan seri ketiga diraih Penang selepas terikat tanpa jaringan dengan Terengganu dan Sabah sebelum ini.

Penang menghuni tangga keenam liga ketika ini dengan mengumpul tiga mata, satu mata di belakang PDRM yang berada di kedudukan kelima.

Sementara itu, pengendali PDRM, P Maniam mengakui tetap gembira dengan satu mata yang diraih meskipun pasukannya gagal meneruskan momentum kemenangan selepas mengejutkan Perak 3-2 di gelanggang lawan, Sabtu lalu. "Sudah pasti kalau boleh kami mahu dapatkan tiga mata.

Tapi inilah bola sepak, kita juga boleh nampak Penang ada pemain yang bagus. Kami harus tingkatkan bahagian pertahan.

"Kami sudah maklumkan dari awal yang kami tidak boleh bolos. Tetapi sekarang kami sudah bolos empat gol (dalam tiga perlawanan), saya fikir kami boleh menang kalau kami bertahan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 2:09 PM