Hector Bidoglio
Hector Bidoglio
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Rekod jaringan besar menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC belum cukup untuk memuaskan hati pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Hector Bidoglio terhadap keseluruhan persembahan anak buahnya.

Walaupun kemenangan 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam menyaksikan JDT kembali ke puncak Liga Super dengan mengumpul sembilan mata namun Bidoglio meletakkan penanda aras yang tinggi terhadap kemampuan pemain Harimau Selatan.

Malah, Bidoglio meletakkan hanyalah 50 peratus keseluruhan prestasi barisan anak buahnya walaupun mereka mempamerkan aksi cemerlang menumpaskan KL City.

Pengendali berusia 56 tahun itu berkata, corak permainan anak buahnya sentiasa akan meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan kerja keras yang dilakukan mereka.

"Hari ini mereka beraksi dengan baik, persembahan yang bagus. Separuh masa pertama mungkin kami mempunyai banyak peluang tetapi hanya meledak dua gol. Namun, babak kedua pasukan beraksi dengan sangat baik.

"Saya tidak pernah berasa selesa dengan pasukan saya dan saya sentiasa mahu lebih lagi. Saya yakin kami akan menjadi lebih baik setiap minggu, saya yakin sebab saya lihat bagaimana mereka berlatih dan bekerja.

"Saya tahu JDT meningkat dari hari ke hari dan untuk masa yang akan datang saya berharap untuk melihat JDT yang cemerlang," katanya.

Baru beraksi dua perlawanan untuk musim ini, kekalahan di gelanggang sendiri itu meletakkan KL City di tangga ke-10 liga dengan mengumpul satu mata hasil keputusan seri 1-1 berdepan Kuching City, 12 Mei lalu.

Sementara itu, pengendali KL City, Miroslav Kuljanac menyifatkan masalah kecederaan yang membelenggu beberapa pemainnya menjadi antara faktor mereka sukar mempamerkan persembahan lebih baik.

"Perlawanan yang sukar bagi kami, namun pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya gembira dengan sikap mereka. Paling kurang sejam kami berjuang dan selepas JDT meledak gol ketiga, ia mengubah segala-galanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 1:40 PM