YUSRI gembira Perak lakar kemenangan KDA FC. -FOTO Izzali Ismail.
YUSRI gembira Perak lakar kemenangan KDA FC. -FOTO Izzali Ismail.
Izzali Ismail


Alor Setar : Pengendali Perak FC Yusri Che Lah memuji semangat pemainnya yang mengambil peluang dengan sebaiknya untuk menghasilkan gol dan seterusnya meraih kemenangan 2-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman semalam.

Menurut Yusri, tindakan pemain import muda dari Korea Selatan, Lee Tae Min, 21, memanfaatkan peluang gol buat Perak FC itu adalah satu usaha yang dibuat pasukannya untuk 'membunuh' karektor permainan Kedah.

"Saya faham Kedah malam ini menguasai sebahagian besar perlawanan dan kami cuma sesekali melakukan serangan balas, namun inilah bola sepak kerana seandainya kita menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin, ia boleh memihak kepada kita.

"Kalau kita terus menyerang lebih bergaya untuk cari kemenangan tetapi corak keputusan sebaliknya saya rasa peminat juga tidak akan suka.

"Kalau dibandingkan dengan corak permainan dalam perlawanan ini saya agak kami tidak beraksi sepenuhnya dengan baik tetapi keputusan adalah sebaliknya dan dalam dua perlawanan terdahulu, kami telah beraksi dengan baik tetapi keputusannya pula adalah sebaliknya," katanya.

Yusri juga berkata beliau tidak menganggap kemenangan yang hanya bersandarkan nasib, sebaliknya peluang mencipta kemenangan pertama adalah impian sebelum mereka berangkat ke Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:39 PM