Miroslav Kuljanac
Miroslav Kuljanac
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) FC sudah pastinya tampil lebih 'segar' dan bersedia untuk berentap dengan Johor Darul Ta'zim (JDT)di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, petang esok.

Hal ini kerana, skuad kendalian Miroslav Kuljanac mempunyai dua minggu tempoh berehat sekali gus mampu menyiapkan skuad lebih mantap bagi menghadapi ancaman pasukan Harimau Selatan.

Kuljanc berkata, barisan kejurulatihan sudah pastinya mempunyai ramuan terbaik bagi mempersiapkan pemain walaupun tanpa kehadiran dua tonggak utama iaitu Adrijan Rudovic dan kamal Azizi.

"Kita lihat siapa yang boleh bermain pada perlawanan selepas ini. Daripada aspek kecergasan, agak sukar untuk saya katakan kerana agak sukar untuk menilai apabila (aksi menentang Kuching City) kita kekurangan pemain," katanya.

Daripada aksi dengan Kuching City sebelum ini, Kuljanac percaya pemainnya sudah dapat menyesuaikan diri dengan pendekatan yang diinginkan dan percaya kualiti pasukan akan bertambah baik.

Bagaimanapun, jurulatih dari Croatia itu kagum dengan kematangan permainan bintang mudanya, Haqimi Azim Rosli dan pemain Bawah 23 Tahun (B-23) itu harus memanfaatkan setiap peluang yang diberikan.

"Saya sangat gembira dengan dia, (Hakimi) dan saya berjanji dia akan mendapatkan sokongan daripada saya dan saya akan mengubah dia kepada seorang penyerang yang lebih baik dari musim lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:25 PM