PEMAIN  Kuching City FC Jimmy Raymond mengawal bola daripada dirampas pemain Sri Pahang FC  di Stadium Negeri. FOTO Bernama
PEMAIN Kuching City FC Jimmy Raymond mengawal bola daripada dirampas pemain Sri Pahang FC di Stadium Negeri. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mesej diberikan barisan kejurulatihan dalam bilik persalinan menjadi 'resepi' untuk Sri Pahang FC (SPFC) bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Kuching City FC (KCFC) di Stadium Negeri, semalam.

'Rahsia' itu dikongsikan pembantu jurulatih skuad 'Tok Gajah', Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi dan barisan kejurulatihan yang jelas berpuas hati dengan persembahan pemain apabila berjaya membawa pulang satu mata dari tempat lawan.

"Sudah tentu banyak lagi kekurangan dan kita agak bergelut pada babak pertama walaupun sudah mengingatkan pemain mengenai corak permainan KCFC.

"Kita kurang dari segi 'marking' dan kita sudah maklumkan pemain, ternyata mereka bermain di 'far post' untuk jaringan pertama KCFC. Kita sudah teliti semua perkara itu cuma pemain tidak dapat melaksanakannya pada babak pertama.

"Kita amat berpuas hati kerana semasa di bilik persalinan, kita sampaikan beberapa mesej dan apa yang perlu pemain lakukan. Jadi pemain dapat laksanakannya dengan baik," katanya.

Pada aksi terbabit, KCFC mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Tchetche Kipre (m19) dan Jordan Mintah di hujung separuh masa pertama.

Namun, skuad bimbingan Fandi Ahmad tampil dengan corak permainan lebih kemas apabila Adam Nor Azlin mengurangkan defisit pada minit ke-62 sebelum Stefano Brundao berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-66.

Bagaimanapun, SPFC dikecewakan dengan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang membatalkan jaringan terbabit selepas ada pemain mereka dalam keadaan ofsaid sebelum jaringan dilakukan.

Hidalgo berjaya mencetak gol penyamaan pada minit ke-76 namun VAR sekali lagi 'masuk campur' dan SPFC menarik nafas lega apabila jaringan itu disahkan.

"Susah nak ditafsirkan (VAR) jadi kita menilai daripada tepi apa sepatutnya VAR lakukan, apa yang dimaklumkan pada kita dan apa patut mereka lakukan, jadi tidak sama.

"Informasi yang kita dapat lain, apa yang terjadi lain. Kita tidak dapat lagi keterangan lebih lanjut," kata Ahmad Shaharuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:34 PM