FODEN dinobatkan pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris. -FOTO AFP
FODEN dinobatkan pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris. -FOTO AFP
Agensi

London: Pep Guardiola berpendapat Phil Foden masih boleh menjadi lebih baik, selepas pemain berusia 23 tahun itu dinobatkan Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris.

Foden menjadi watak penting City musim ini, menjaringkan 17 gol dan lapan bantuan jaringan dalam liga utama musim 2023-24.

Ia adalah musim terbaik pemain muda itu bersama City, manakala hanya enam pemain dalam Liga Perdana mengatasi jaringan gol Foden.

Ketika ditanya mengenai kemajuan yang dicapai Foden musim ini, sehingga dia meraih anugerah itu, Guardiola memuji impak pemain antarabangsa England itu dalam skuad.

"Jelas sekali, dia membuat satu langkah ke hadapan sebagai pemain bola sepak. Dari segi minit atau masa, tetapi dia berusaha keras untuk memenangi perlawanan," kata Guardiola.

"Mungkin sebelum ini dia kurang mendapat perhatian tetapi sekarang ia konsisten. Itulah yang sebenarnya, tetapi masih ada ruang untuk peningkatan.

"Kadang-kadang permainannya terlalu teruja, ia berlebihan dan anda perlu lebih tenang kerana keghairahan yang dimiliki beliau sendiri, tetapi musim ini sangat penting. Benar-benar, benar-benar penting."

Foden meningkatkan jumlah golnya dengan 11 jaringan dari musim lalu dan mengetuai City untuk mencipta peluang menjuarai kempen musim ini dengan 68 gol.

"Dia bergerak ke hadapan, tetapi saya merasakan dia boleh menjadi lebih baik, dan saya fikir dia boleh melakukannya kerana saya sudah banyak kali mengatakan bahawa dia suka bola sepak," tambah Guardiola.

"Dia seronok berada di atas padang dan saya rasa dia akan tidak suka bila diberikan cuti.

"Beliau suka berada dalam sesi latihan melakukan lebih atau kurang, dan saya rasa masih ada ruang untuk peningkatan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 12:54 PM