SIKH Izhan dibuang padang selepas meluru keluar kotak penalti dan ‘menanduk’ muka penyerang lawan yang menyebabkan dia turut cedera. FOTO AFC
SIKH Izhan dibuang padang selepas meluru keluar kotak penalti dan ‘menanduk’ muka penyerang lawan yang menyebabkan dia turut cedera. FOTO AFC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kurang berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa menjadi antara punca penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia B-23 menentang Kuwait, awal pagi tadi.

Tindakan Sikh Izhan meluru keluar sebelum 'menanduk' muka pemain lawan dalam perebutan bola di udara di luar kotak penalti, menyebabkan dia dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan dari Australia, Akexander King.

Dia yang cedera diusung keluar menyebabkan skuad kendalian Juan Torres Garrido terpaksa beraksi dengan 10 pemain, sekali gus merencatkan peluang meraih keputusan positif pada perlawanan itu.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully berkata, setiap penjaga gol perlu membuat keputusan dengan segera dan tepat apabila berada dalam situasi bahaya bagi mengelak gawang dibolosi lawan.

Beliau yang juga bekas penjaga gol Negeri Sembilan berkata, Sikh Izhan sepatutnya tidak meluru keluar kerana pemain pertahanan dilihat mampu mengekang kemaraan penyerang lawan daripada menjaringkan gol.

"Saya lihat keputusan itu (meluru keluar) tidak wajar kerana pemain pertahanan ada. Situasi berlaku sekelip mata dan mungkin kurang berpengalaman menyebabkan dia bertindak begitu.

"Namun, perkara itu menjadi pengajaran dan pengalaman bermakna buat Sikh Izhan supaya lebih peka dan berhati-hati dalam membuat keputusan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Jonoub itu, skuad muda negara menutup kempen Kumpulan D Piala Asia B-23 Qatar dengan tangan kosong apabila gagal mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk semua perlawanan diharungi mereka.

Skuad muda negara tewas 1-2 kepada Kuwait menerusi sepakan penalti Salman Mohammed dan gol Talal Al Qaisi manakala gol Malaysia pula disumbangkan Haqimi Azim Rosli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 6:07 PM