KES berkenaan berkaitan dengan perpindahan Zouma ke West Ham. FOTO Reuters
KES berkenaan berkaitan dengan perpindahan Zouma ke West Ham. FOTO Reuters
Reuters

London: Seorang ejen bola sepak menghantar emel ugutan kepada pengarah kanan di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea FC, menuntut komisen enam angka bagi perpindahan pertahanan Perancis, Kurt Zouma, pendakwaraya memberitahu mahkamah London hari ini.

Saif Rubie menghantar emel kepada Marina Granovskaia, pengarah bola sepak Chelsea di bawah bekas pemilik, Roman Abramovich, pada Mei 2022 selepas perpindahan Zouma ke West Ham dari Chelsea pada tahun sebelumnya.

Lelaki berusia 45 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Komunikasi Berniat Hasad dan perbicaraannya di Mahkamah Southwark Crown bermula pada hari ini.

Pendakwaraya Arizuna Asante berkata Rubie - yang namanya terdapat dalam senarai mahkamah sebagai Saif Alrubie - memberitahu Marina bahawa beliau dan rakan kongsinya berhutang £300,000 (RM1.7 juta) atas perjanjian itu.

Marina memberikan bukti pada bahawa Chelsea menerima sejumlah €29.1 juta (RM173 juta) , termasuk £4.1 juta (RM24.4 juta) yang dibayar kepada Zouma sebagai 'bayaran penamatan kontrak'.

Dalam e-mel kepada Marina, Rubie berkata: "Saya pasti anda pernah mendengar cerita mengenai rakan anda yang lain, Kia apabila beliau berhutang dengan saya selama setahun dan bagaimana beliau akhirnya membayarnya.

"Tidak mahu anda berada dalam situasi yang sama hanya kerana anda mempunyai masalah peribadi dengan saya."

Asante memberitahu juri bahawa itu merujuk kepada insiden yang membabitkan ejen bola sepak Kia Joorabchian, yang didakwa ditangkap di sebuah restoran dan jam tangannya diambil sebelum beliau berdepan dengan tuntutan wang di pejabatnya pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:46 AM