JURULATIH mempunyai banyak pilihan bagi memperagakan taktik dalam bola sepak. FOTO Google DeepMind
JURULATIH mempunyai banyak pilihan bagi memperagakan taktik dalam bola sepak. FOTO Google DeepMind
ETX Daily Up

London: Google DeepMind, anak syarikat kecerdasan buatan (AI) Alphabet, sudah bekerjasama dengan kelab bola sepak, Liverpool selama beberapa tahun dalam pembangunan sistem AI yang mampu menganalisis dan menasihati jurulatih mengenai taktik permainan.

Ia kini membangunkan sistem AI untuk mengoptimumkan sepakan sudut.

DeepMind baru-baru ini mempersembahkan TacticAI, sistem (AI) yang mampu memberikan maklumat praktikal apabila melakukan sepakan sudut dalam perlawanan bola sepak.

Ia menggabungkan model ramalan dan generatif untuk menganalisis apa yang sudah berlaku dalam perlawanan sebelumnya dan membuat pelarasan untuk tindakan lebih berkesan.

Ia membolehkan jurulatih membuat konfigurasi pemain alternatif setiap rutin yang diminati, kemudian menilai secara langsung kemungkinan hasil pilihan itu.

Dengan cara ini, jurulatih boleh mengetahui siapa yang berkemungkinan menerima bola dan sama ada mereka akan mempunyai peluang menjaringkan gol atau taktik serupa berjaya pada perlawanan terdahulu.

Perlu diingat bahawa data mengenai sepakan sudut agak terhad, kerana purata hanya 10 sepakan dilakukan setiap perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris.

Dari segi konkrit, alat DeepMind menawarkan gambaran grafik tindakan, di mana setiap pemain diletakkan dengan teliti di atas padang.

Rangkaian saraf graf kemudian mengira dan melaraskan kedudukan mereka untuk mengoptimumkan peluang gol, dengan mengambil kira kedudukan pemain pertahanan lawan.

Matlamat model ramalan ini adalah untuk membantu jurulatih membangunkan corak permainan yang lebih berkesan terutama ketika situasi sepakan sudut.

Idea sekarang adalah untuk memperluaskan teknologi ini kepada urutan permainan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:03 PM