PENGARAH Sabah FC, Mohd Joh Wid. -FOTO Sabah FC
PENGARAH Sabah FC, Mohd Joh Wid. -FOTO Sabah FC
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC dengan kerjasama Lotto Malaysia bakal menampilkan reka bentuk jersi baharu yang istimewa buat penyokong Sang Badak pada musim ini.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata, pihaknya bersama Lotto kini di peringkat akhir penyiapan sampel jersi untuk pelancaran yang akan dilakukan secara virtual pada 9 Mei depan.

Katanya, Lotto sekali lagi dipilih untuk membekal jersi Sabah FC dengan mengambil kira reka bentuk, kualiti dan fabrik jenama itu yang sesuai dengan cuaca dan cita rasa penyokong serta peminat Sabah FC.

"Semua penyokong dan peminat Sabah FC diminta bersabar, sudah tentu kerjasama di antara Sabah FC dan Lotto Malaysia akan menampilkan ciptaan serta reka bentuk yang istimewa untuk penyokong di negeri Sabah.

"Sabah FC sebelum ini membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan jenama Lotto sebagai rakan penyedia jersi pasukan bagi musim baharu 2024/2025," katanya.

Sebelum ini Sabah FC mengumumkan penyambungan kerjasama dengan Lotto selaras pilihan yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani di antara kedua-dua pihak pada 2021.

Mohd Joh berharap jersi yang digunakan Sabah FC untuk kempen musim ini akan terus mendapat sambutan penyokong dan peminat seperti yang berlaku sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:39 PM