SESI latihan skuad B-23 menjelang perlawanan menentang Vietnam. -FOTO FAM
SESI latihan skuad B-23 menjelang perlawanan menentang Vietnam. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tidak mempunyai pilihan selain wajib meraih kemenangan menentang Vietnam hari ini jika mahu tempoh slot ke Olimpik Paris atau sekurang-kurangnya meraih tempat di suku akhir.

Walaupun Vietnam adalah pasukan daripada Asia Tenggara namun statusnya sebagai naib juara Piala Asia B-23 2018 sudah pastinya menghadirkan cabaran lebih besar dalam usaha anak buah Juan Torres Garrido meraih tiga mata penting.

Ketika ini, skuad muda negara berada di kedudukan tercorot kumpulan D tanpa sebarang mata sekali gus memerlukan kemenangan bertemu Vietnam untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.

Menyedari ancaman yang bakal diterima skuad B-23 pada perlawanan kedua itu, Garrido menggesa anak buahnya supaya melupakan kekalahan di tangan Uzbekistan seterusnya perlu bekerja lebih keras bagi memperoleh keputusan positif.

Beliau berkata, walaupun Vietnam dilihat berpeluang cerah memenangi pertemuan hari ini namun keputusan boleh memihak kepada Malaysia seandainya barisan pemain muda tidak mengulangi kesilapan lalu.

"Berdasarkan kepada prestasi pasukan, kita sentiasa meningkat setiap kali perlawanan. Peningkatan dapat dilihat selepas perlawanan dan kita mengetahui bukan mudah untuk menundukkan Vietnam.

"Apa yang boleh dilakukan adalah pemain perlu bekerja lebih keras lagi dan beraksi lebih terbuka apabila menentang pasukan itu.

"Paling penting adalah tidak lagi melakukan kesilapan mudah hingga memberi peluang pada lawan menjaringkan gol," katanya.

Pada pertembungan di Stadium Antarabangsa Khalifa Rabu lalu menyaksikan, skuad Harimau Muda tewas 0-2 kepada Uzbekistan.

Dua gol yang dijaringkan Jasurbek Jaloliddinov menerusi sepakan penalti dan Ulug'bek Khoshimov pada hujung babak kedua meranapkan impian pasukan muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Ketika ini, Uzbekistan yang juga juara Piala Asia edisi 2018 memimpin kumpulan D manakala Vietnam pula di tempat kedua dengan masing-masing berkongsi enam mata.

Mengikut rekod, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi 'play-off' menentang wakil Afrika, Guinea.

Pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:27 PM