AKSI antara JDT dan La Nucia di Stadium Olimpik Camilo Cano. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
AKSI antara JDT dan La Nucia di Stadium Olimpik Camilo Cano. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengaum di bumi Sepanyol apabila dengan kali ini kelab divisyen 4 Sepanyol CF La Nucia sebagai mangsa seterusnya.

Juara Liga Super 10 kali itu tidak berhadapan masalah merekodkan kemenangan 3-1 pada perlawanan yang berlangsung Stadium Olimpik Camilo Cano, petang tadi.

Jelas sekali skuad bimbingan Hector Bidoglio memperoleh momentum terbaik selepas mencatat kemenangan menentang kelab divisyen tiga, Real Murcia dengan keputusan 3-0, semalam.

Pada aksi itu menyaksikan, tuan rumah terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi ledakan Cristian Martinez pada minit ke-8.

Skuad Harimau Selatan bagaimanapun tidak menunggu lama apabila meledak dua gol pantas menerusi pertahanan kiri, Oscar Arribas dan penyerang baharu pasukan, Nicolao Dimitru masing-masing pada minit ke-26 dan 37.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan terus menguasai perlawanan dengan sering melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Arribas sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila menjaringkan gol ketiga JDT ketika perlawanan berbaki 15 minit.

Keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT berjaya merekodkan kemenangan kedua dalam kempen pra musim di Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 9:27 PM