MOHD  Zahari Che Ros (kanan) menyokong usaha KDA FC untuk mengukuhkan kewangan pasukan.
MOHD Zahari Che Ros (kanan) menyokong usaha KDA FC untuk mengukuhkan kewangan pasukan.
Izzali Ismail

Alor Setar: Penyokong skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap yakin jumlah kunjungan penyokong ke Stadium Darul Aman tidak akan terjejas meskipun wujud kenaikan harga tiket di Stadium Darul Aman pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ini susulan pengumuman pihak pengurusan KDA FC yang mengesahkan kenaikan harga tiket sebanyak RM5 mulai perlawanan pramusim dan perlawanan musim 2024-2025 di Stadium Darul Aman sebagai langkah untuk membantu kos operasi pasukan dan mengukuhkan kewangan.

Harga baharu yang diumumkan pemilik Sang Kenari ialah RM20 bagi zon terbuka, RM30 zon pavilion dan RM40 untuk zon astaka utama.

Menurut jurucakap Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK), Mohd Zahari Che Ros, kenaikan sebanyak RM5 perlu dilihat daripada aspek positif untuk perkembangan pasukan yang memerlukan sokongan kewangan musim ini.

"Kita tahu pihak pengurusan pasukan perlu mengukuhkan kedudukan kewangan dalam menjalankan operasi musim ini selepas bergelut dengan tunggakan gaji musim lepas.

"Jika dikira memang sedikit mahal dengan penambahan RM5 berbanding musim lalu, tetapi kami yakin jika pasukan memberi aksi mantap serta terbaik mereka pada setiap perlawanan, kunjungan daripada pihak penyokong tetap akan tinggi.

"Selain itu, sebagai penyokong setia Sang Kenari, kami juga melihat pembelian pas bermusim KDA FC untuk musim ini adalah satu langkah penjimatan menerusi harga menarik ditawarkan pengurusan KDA FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:44 PM