MOHD Daud Bakar (kanan) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin (kiri) ketika sidang media hari ini. FOTO Izzali Ismail
MOHD Daud Bakar (kanan) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin (kiri) ketika sidang media hari ini. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semakin menghampiri proses pembayaran penuh baki tunggakan gaji 2023 yang membolehkan Sang Kenari memperoleh lesen kebangsaan sekali gus dapat terus beraksi dalam saingan Liga Super, musim ini.

Pemilik pasukan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata setakat jam 3 petang tadi pihaknya hanya memerlukan 10 peratus sahaja lagi dana bagi melangsaikan keseluruhan 50 peratus tunggakan gaji yang perlu dijelaskan kelab bagi memperoleh lesen kebangsaan seperti yang disyaratkan First Instance Body (FIB).

"Berkenaan liabiliti semasa KDA FC, pihak pengurusan KDA FC sudah mencapai peringkat akhir penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023 dan penyelesaian penuh tunggakan sebelum 20 April 2024 bagi memenuhi syarat untuk mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

"Sehingga jam 3 petang ini, KDA FC berjaya mengumpul dana sebanyak 90 peratus bagi tujuan melunaskan baki 50 peratus hutang gaji 2023 yang

tertunggak bagi tujuan perlesenan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Namun, segala usaha mengumpul baki dana yang diperlukan itu masih diteruskan terutama daripada pihak penaja, penyokong termasuk sektor korporat dan swasta bagi memastikan proses pembayaran penuh ini dapat diselesaikan sebelum 20 April ini," katanya pada sidang media KDA FC mengenai status terkini persediaan pramusim 2024/2025 dan hala tuju kelab sebentar tadi.

Mohd Daud juga berkata, bagi memastikan pengumpulan dana ini 'bergerak' pantas sebelum tarikh akhir, KDA FC menyasarkan pendapatan segera antaranya melalui langganan tontonan perlawanan pramusim, tiket perlawanan pramusim, kad keahlian bermusim serta setiap produk yang keluaran Sang Kenari yang terdapat dalam pasaran.

"Di peringkat kelab, kami amat berharap, semua pihak berkepentingan terutamanya penyokong dapat membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbang kepada kelab dengan membeli dan menyumbang kepada produk kelab bermula pramusim ini.

"Pihak pengurusan juga memutuskan kenaikan harga tiket yang bermula pada perlawanan pramusim ini untuk membantu kewangan KDA FC.

"Walaupun jumlah yang dinaikkan bukanlah sekali ganda, tetapi sedikit sebanyak dapat membantu kelab menstabilkan kos operasi pada setiap masa," katanya.

Turut dimaklumkan, langganan untuk menonton aksi pramusim empat penjuru membabitkan KDA FC, Terengganu FC, Terengganu FC 2 dan Penang FC di Terengganu bermula esok adalah RM15 untuk satu tontonan dan RM30 untuk dua perlawanan.

Harga tiket bagi musim 2024/25 bakal dinaikkan sebanyak RM5 setiap tiket iaitu RM20 bagi Zon Terbuka, RM30 (Zon Pavilion) dan RM40 untuk Zon Astaka Utama (Grandstand).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:07 PM