PEMAIN NSFC kembali jalani latihan selepas tamat cuti Aidilfitri. FOTO NSFC
PEMAIN NSFC kembali jalani latihan selepas tamat cuti Aidilfitri. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali fokus membuat persiapan rapi bagi menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025, yang berbaki kira-kira sebulan lagi walaupun masih dalam suasana merayakan Aidilfitri.

Selepas membentuk pasukan baharu dan menjalani latihan, skuad Hobin Jang Hobin kini meningkatkan lagi persiapan mereka untuk memastikan setiap pemain mencapai tahap kecergasan serta prestasi terbaik sebelum menggalas cabaran pasukan dalam Liga M.

Ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan memaklumkan pasukannya akan mengadakan empat aksi persahabatan pramusim yang dianggap berstatus 'Kelas A' kerana ia membabitkan pasukan mempunyai rekod dan pencapaian terbaik dalam Liga M.

Katanya, aksi itu membabitkan perlawanan menentang Selangor FC di Shah Alam pada Rabu ini, disusuli bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC di Cheras Kuala Lumpur pada 22 April dan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada 24 April.

"Aksi persahabatan seterusnya pula ialah menentang Kelantan Darul Naim FC di Kota Bharu pada 26 April. Secara peribadi, saya melihat rancangan kelab mengatur aksi persahabatan dengan pasukan berprestij tinggi ini adalah tepat dalam usaha membantu memperkasakan lagi kekuatan Negeri Sembilan.

"Kita tahu pasukan seperti Selangor, KL City dan Kedah antara pencabar terkuat dalam Liga M. Jadi, kami perlu ambil peluang ini untuk menilai tahap keupayaan masing-masing dan berusaha mencapai tahap prestasi terbaik sebelum liga bermula," kata Nasrullah Hanif, di sini, hari ini.

Pemain pertahanan berpengalaman berusia 33 tahun itu menegaskan tumpuan utama dia dan rakan sepasukan ketika ini untuk memahami dengan baik taktikal diketengahkan jurulatih dalam memastikan setiap bahagian pasukan dapat berfungsi dengan baik dan efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 10:25 PM