MOHD Zaquan Adha Abdul Razak. FOTO NSTP
MOHD Zaquan Adha Abdul Razak. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak tidak mahu terus hilang dalam radar bola sepak negara apabila bersedia untuk bertukar 'posisi' kepada jurulatih pada masa akan datang.

Menurut bekas pemain Negeri Sembilan itu, hanya dengan cara terbabit dia dapat terus kekal aktif dan menabur bakti dalam arena bola sepak tanah air.

Zaquan berkata, dia bersedia untuk mempertimbangkan sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan bola sepak untuk berkongsi kepakaran dan pengalamannya sepanjang tempoh bergelar pemain profesional.

"Perancangan saya kalau boleh tak nak hilang dalam radar bola sepak. Kalau tak bermain sekalipun, sekurang-kurangnya saya masih ada dalam radar bola sepak.

"Peminat masih tahu lagi bahawa Zaquan masih ada dalam dunia bola sepak. Dan pada masa yang sama, saya akan bermula jadi jurulatih.

"Sebab bila sudah jadi jurulatih, akan ada label (lesen) A, B dan C. Dia kena ada buku log yang mana kita kena latih mana-mana pasukan. Mungkin saya akan latih pasukan.

"Sekurang-kurangnya saya dapat mengasah bakat sebagai jurulatih Insya Allah pada masa akan datang," katanya.

Sebelum itu, Zaquan Adha mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak negara selepas hampir dua dekad menabur bakti dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, ia bukanlah pengakhiran yang diidamkan penyerang berusia 37 tahun itu memandangkan dia hanya diutuskan sekeping surat memaklumkan kontraknya bersama Negeri Sembilan tidak dilanjutkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 2:09 PM