KHAIRIL Anuar pernah bersama Sarawak United pada musim 2022 dan Kelantan FC. FOTO Ihsan Instagram ahmadbeto
KHAIRIL Anuar pernah bersama Sarawak United pada musim 2022 dan Kelantan FC. FOTO Ihsan Instagram ahmadbeto
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Turkiman atau Zamsaham terus ditekan apabila kali ini bekas pemain mereka, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri mengingatkan kelab itu untuk melunaskan bayaran empat bulan tunggakan gaji yang belum diterimanya.

Ahmad Khairil atau lebih popular dengan Beto itu melakukan ciapan di Twitter miliknya yang dituju secara khusus kepada The Red Warrior (TRW).

"Sarawak United FC 9, 10, 11. Kelantan FC 9, 10, 11, 12. Saje beritahu, kot kot lupa," katanya dalam nada seakan-akan perli yang dituju khusus bekas pasukannya itu.

Selain Beto, terdapat beberapa pemain lain lagi yang turut senada dengan dirinya sebelum ini bahawa kelab dari Pantai Timur itu belum melunaskan tunggakan gaji kepada mereka.

Antaranya, Syed Sobri Syed Mohamad yang mendakwa dirinya cuba menghubungi pemilik TRW itu untuk mendapatkan maklumat terkini tetapi masih gagal sementara Khairul Helmi Johari pula menyatakan bayaran pendahuluan RM1,000 yang dikatakan itu hanya siapa cepat dia dapat iaitu hanya 20 pemain sahaja yang menerima duit itu.

Untuk rekod, Beto pernah bersama Sarawak United pada musim 2022 dan Kelantan FC.

Bagai jatuh ditimpa tangga apabila kedua-dua kelab yang disertai oleh dia itu mengalami masalah tunggakan gaji.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Zamsaham menerusi akaun Tiktoknya menyatakan dirinya sudah melunaskan gaji yang tertunggak secara beransur-ansur kepada pemain dengan bayaran RM1,000 untuk kegunaan sambutan hari raya.

"Bagi isu tunggakan gaji, hari ini dapatlah saya masukkan RM1,000 sebagai pendahuluan untuk bayar baki tiga bulan tunggakan sebab esok nak raya," katanya menerusi Tiktoknya sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:50 PM