AZRI akan berikan yang terbaik ketika di dalam latihan dan yang lain terserah kepada jurulatih. FOTO Ihsan KL City FC
AZRI akan berikan yang terbaik ketika di dalam latihan dan yang lain terserah kepada jurulatih. FOTO Ihsan KL City FC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Penjaga gol Kuala Lumpur City (KL City) Azri Ghani melihat kehadiran Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy ke skuad Warga Kota itu sebagai satu persaingan sihat bagi merebut posisi nombor satu dalam pasukan.

Jelasnya, dirinya tidak perlu merasakan begitu panik kerana cabaran itu amat bagus dan ia secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi prestasi masing-masing untuk tampil lebih bagus dari semasa ke semasa.

Katanya, dia akan berikan yang terbaik ketika di dalam latihan dan yang lain terserah kepada jurulatih untuk membuat pilihan siapa yang harus diturunkan.

"Persaingan posisi penjaga gol, bagi saya tak ada masalah. Sebab sebelum ini pun saya pernah satu pasukan dengan Hafizul. Tak ada masalah bagi saya. Insya-Allah kami boleh berkomunikasi dengan baik.

"Kami akan bersaing dengan bagus. Siapa yang diturunkan pun, itu atas kehendak jurulatih dan atas prestasi kita. Saya harap saya atau Hafizul dapat lakukan dengan baik apabila diturunkan nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Penjaga gol Harimau Malaya itu juga berharap dia dapat meningkatkan prestasinya ke tahap lebih baik dari musim sebelum ini dan dapat beraksi lebih kerap bersama KL City.

Untuk rekod, Azri dan Hafizul pernah berada dalam satu pasukan yang sama ketika di Perak FC pada 2021 dan sudah pasti kedua-duanya mempunyai keserasian serta boleh bekerjasama dengan baik.

Terdahulu, bekas penjaga gol Malaysia itu juga berpendapat Azri Ghani adalah seorang penjaga gol terbaik di dalam pasukan dan akan berlaku persaingan sengit bagi merebut posisi nombor satu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 4:36 PM