NORIZAM agak kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang inginkan gaji penuh. FOTO NSTP
NORIZAM agak kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang inginkan gaji penuh. FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Cumanya saya terkejut apabila ada yang komen untuk memboikot ramai-ramai dan tidak terima RM1,000 yang saya berikan."

Itu antara reaksi pemilik Kelantan FC, Norizam Tukimann yang terkejut dan mendakwa ada pihak cuba mengajak pemain lain boikot pemberian RM1,000 bagi kegunaan hari raya baru-baru ini.

Menurut Norizam atau Zamsaham, bayaran yang diberikan itu bukti beliau sememangnya begitu komited untuk menyelesaikan tunggakan gaji para pemain selama ini.

Jelasnya, disebabkan itu, beliau sanggup mengeluarkan RM20,000 untuk melakukan pembayaran kepada 20 pemain dan kini beliau dalam usaha bagi menyelesaikan tunggakan tiga bulan dihadapi pasukan Kelantan FC.

Namun begitu, usaha baiknya itu disalah erti dan beliau agak kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang inginkan gaji penuh dan bukan RM1,000 setiap seorang itu.

"Berkenaan RM20,000 pembayaran yang saya berikan kepada pemain Kelantan FC, Alhamdulillah dengan jumlah tersebut kita berikan kepada pengurusan dan pemain semua. Kita berikan RM1,000.

"Awal pagi hari raya lagi saya dah maklumkan kepada pemain, cumanya saya terkejut apabila ada yang komen untuk memboikot ramai-ramai dan tidak terima RM1,000 yang saya berikan.

"Maksudnya jom boikot ramai-ramai, tak payah ambil pun duit itu. Saya terkejut, kalau individu tersebut duit banyak mungkin awak tak payahlah ambil (RM1,000).

"Akan tetapi, bagi yang memerlukan, RM1,000 pun besar sebenarnya. Macam sayalah, saya dapat dahulukan RM20,000 pun sebenarnya besar bagi saya. Sebab itulah kemampuan yang saya ada untuk memberikan RM20,000 dahulu.

"Tetapi sayangnya, ada yang nak penuh gaji tiga bulan. Saya faham kalian nak gaji penuh, tetapi saya berikan dahulu RM1,000 sebagai pendahuluan, menunjukkan saya ada komitmen dan tidak lari untuk bayar baki gaji,"katanya menerusi Tiktoknya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Zamsaham menerusi akaun Tiktoknya menyatakan dirinya sudah melunaskan gaji yang tertunggak secara beransur-ansur kepada pemain dengan bayaran RM1,000 untuk kegunaan sambutan hari raya.

"Bagi isu tunggakan gaji, hari ini dapatlah saya masukkan RM1,000 sebagai pendahuluan untuk bayar baki tiga bulan tunggakan sebab esok nak raya," katanya menerusi Tiktoknya sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Namun begitu,bekas pemain Kelantan FC, Khairul Helmi Johari yang tampil menafikan dakwaan pemilik Kelantan FC, Norizam Turkiman bahawa sudah melunaskan tunggakan gaji tiga bulan secara beransur-ansur kepada pemain mereka.

Jelas Khairul Helmi, untuk bayaran RM1,000 seperti yang dikatakan oleh Norizam yang lebih popular dengan Zamsaham itu tidak benar sepenuhnya kerana hanya ada segelintir pemain saja yang dapat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:41 PM