Bekas pemain Kelantan Khairul Helmi Johari
Bekas pemain Kelantan Khairul Helmi Johari
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Itu pun 20 orang je dapat, siapa cepat pulak itu.

Itu luahan bekas pemain Kelantan FC, Khairul Helmi Johari yang tampil menafikan dakwaan pemilik Kelantan FC, Norizam Turkiman bahawa sudah melunaskan tunggakan gaji tiga bulan secara beransur-ansur kepada pemain mereka.

Jelas Khairul Helmi, untuk bayaran RM1,000 seperti yang dikatakan oleh Norizam yang lebih popular dengan Zamsaham itu tidak benar sepenuhnya kerana hanya ada segelintir pemain saja yang dapat.

Lebih menyedihkan, bayaran dikatakan untuk kegunaan raya tetapi agak malang apabila hanya 20 pemain terawal saja dan siapa yang tiada di dalam senarai itu, akan berputih mata.

"Itu pun 20 orang je dapat. Sapa cepat pulak tu. Kena bersyukur pula tu. Saya tak dapat pun,"katanya menerusi Facebook rasminya.

Semalam Zamsaham menerusi akaun Tiktoknya menyatakan dirinya sudah melunaskan gaji yang tertunggak secara beransur-ansur kepada pemain dengan bayaran RM1,000 untuk menyambut sambutan hari raya.

"Bagi isu tunggakan gaji, hari ini dapatlah saya masukkan RM1,000 sebagai pendahuluan untuk bayar baki tiga bulan tunggakan sebab esok nak raya," katanya menerusi Tiktoknya sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kedah itu juga mempersoalkan kenapa The Red Warrior boleh bermain di Liga M3 sedangkan pemain dan pihak pengurusan masih tidak menerima gaji yang tertunggak lamanya.

"Hari tu kabor (maklumkan) kena selesai yang tertunggak baru boleh sertai Liga M3. guano (macam mana??haahahah,"katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan bekas pemain Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad terus menuntut baki bayaran belum Norizam selepas hampir setengah tahun berlalu.

Katanya, meskipun cuba membuat panggilan telefon dan menghantar WhatsApp, situasi terus buntu apabila tiada maklum balas daripada pihak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 1:17 PM