KLOPP resah senarai pemain Liverpool alami kecederaan kian bertambah. FOTO AFP
KLOPP resah senarai pemain Liverpool alami kecederaan kian bertambah. FOTO AFP
Agensi

London: Jurgen Klopp mengesahkan Luis Diaz, Cody Gakpo dan Darwin Nunez mengalami kecederaan ketika kekalahan dramatik di tangan Manchester United pada suku akhir Piala FA kelmarin.

Skuad Erik Ten Hag menang 4-3 ke atas lawan Merseyside mereka di Old Trafford selepas Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir masa tambahan untuk menyingkirkan Reds daripada kejohanan sekali gus memusnahkan impian Jurgen Klopp untuk merangkul empat piala musim ini.

Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Klopp mendedahkan aksi sengit itu menyebabkan tiga lagi pemainnya mengalami kecederaan termasuk Diaz, Gakpo dan Nunez.

"Mereka kini berdepan tugasan antarabangsa dan kami berharap mereka kembali dengan sihat," kata Klopp.

"Lucho [Diaz] alami kecederaan pangkal paha, Cody bengkak buku lali dan Darwin hamstring. Mereka beraksi sekali lagi dalam masa empat atau lima hari, memang gila.

"Saya berharap kami dapat menamatkan musim ini dengan bergaya dan saya benar-benar dapat berasakannya," katanya.

Liverpool menjadi pasukan pilihan ketika menentang United tetapi berdepan masalah kecederaan selepas tanpa beberapa tonggak termasuk Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Curtis Jones, Ibrahima Konate, Diogo Jota, Thiago Alcantara dan Joel Matip.

Bercakap mengenai prestasi pemainnya, Klopp berkata: "Kami tidak bermula dengan baik tetapi pantas menyesuaikan diri. Ketika mendahului 2-1, kami mempunyai banyak peluang untuk membunuh permainan tetapi kami terburu-buru dan melepaskan banyak peluang.

"Kami hampir menang tapi akhirnya kalah. Saya tak dapat minta lebih banyak daripada itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 10:20 AM