KERUGIAN disebabkan mereka menduduki tempat kelima liga dan tersingkir awal di Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
KERUGIAN disebabkan mereka menduduki tempat kelima liga dan tersingkir awal di Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
AFP

London: Liverpool mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak £9 juta (RM54 juta) musim lalu apabila peningkatan pendapatan komersial gagal mengimbangi kejatuhan pendapatan media dan kutipan hari perlawanan, menurut akaun terbaru kelab itu hari ini.

Hasil keseluruhan sehingga akhir Mei 2023 kekal statik pada £594 juta (RM3.5 bilion) selepas kempen yang mengecewakan di mana anak buah Jurgen Klopp menduduki tempat kelima dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir awal di Liga Juara-Juara serta kedua-dua piala domestik.

Bil gaji untuk pendahulu EPL itu sekarang meningkat £7 juta (RM42 juta) kepada £373 juta (RM2.2 bilion) dan kos pentadbiran meningkat £17 juta (RM102 juta) kepada £562 juta (RM3.3 bilion).

12 bulan sebelumnya mereka menghasilkan keuntungan kecil sebanyak £7.5 juta (RM45 juta).

Aliran pendapatan terbesar Liverpool pada 2022/23 ialah £272 juta (RM1.6 bilion), naik £25 juta (RM150 juta), yang dijana daripada pendapatan luar padang, tetapi penyingkiran Liga Juara-Juara pada peringkat 16 terakhir setahun selepas mara ke final bermakna pendapatan media turun sebanyak £19 juta (RM114 juta) kepada £ 242 juta (RM1.4 bilion).

Perolehan hari perlawanan juga jatuh disebabkan oleh kurang perlawanan yang dimainkan sepanjang musim lalu selepas kempen sebelumnya, apabila kelab itu bermain keseluruhan 63 perlawanan apabila memenangi kedua-dua piala domestik dan mara ke final Liga Juara-Juara.

"Walaupun kos bola sepak yang semakin meningkat, kejayaan operasi komersial kami menunjukkan kekuatan kedudukan kewangan asas kami supaya kami boleh terus beroperasi secara mampan sambil bersaing di peringkat tertinggi bola sepak," kata pengarah urusan Andy Hughes.

"Walaupun keputusan kewangan ini adalah seketika dalam perjalanan kami, apa yang kekal adalah tarikan global kelab yang semakin meningkat."

Pendapatan hari perlawanan akan meningkat selepas tempat duduk Anfield Road baharu dibuka sepenuhnya pada awal Februari, bermakna kapasiti Anfield akan mencecah 61,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 8:39 PM