JOH (kanan) menyerahkan watikah pelantikan Lotto sebagai rakan kerjasama bagi musim 2024 / 2025 kepada Amirul Syafiq di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FC
JOH (kanan) menyerahkan watikah pelantikan Lotto sebagai rakan kerjasama bagi musim 2024 / 2025 kepada Amirul Syafiq di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC meneruskan kerjasama dengan jenama sukan terkemuka, Lotto sebagai penyedia jersi pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2024 / 2025 yang bermula Mei depan.

Pengarahnya, Mohd Joh Wid, berkata penyambungan kerjasama itu selaras dengan pilihan yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani di antara kedua-dua pihak pada 2021.

Katanya, pemilihan Lotto juga mengambil kira reka bentuk, kualiti dan fabrik jenama itu yang sesuai dengan cuaca dan cita rasa penyokong serta peminat Sabah FC.

"Sabah FC membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan jenama Lotto sebagai rakan penyedia jersi pasukan pada musim baharu 2024 / 2025.

"Kita berharap jersi yang digunakan Sabah FC untuk kempen musim ini akan terus mendapat sambutan penyokong dan peminat seperti pada tahun-tahun lalu," katanya, di sini, hari ini.

Mohd Joh hari ini menyerahkan watikah pelantikan semula kepada wakil jenama Lotto bagi meneruskan kerjasama yang dijalin sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan dan Strategi Lotto Malaysia, Amirul Syafiq Azidin, berkata pihaknya teruja untuk meneruskan sokongan mereka kepada Sabah FC.

Katanya, Lotto bekerjasama dengan Sabah FC sejak 2021 dan kini sedang membincangkan hubungan jangka pendek serta panjang yang akan membawa kedua-dua jenama sukan bola sepak itu ke tahap yang lebih tinggi.

"Sejak Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai ketua jurulatih Sabah FC pada penghujung 2021, kelab ini mencapai tahap yang membanggakan apabila menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Super 2022 dan berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala FA, buat kali pertama sejak 2007.

"Sabah FC juga berjaya menamatkan saingan sebagai di tangga ketiga Liga Super dan mara ke suku akhir Piala FA, suku akhir Piala Malaysia dan separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2023," katanya.

Amirul berkata banyak kejayaan dilakar Sabah FC dalam masa yang singkat dan beliau berharap pasukan Sang Badak itu dapat mencipta lebih banyak kejayaan menerusi kerjasama dengan Lotto selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:04 PM