BEKAS pemain Terengganu dan Public Bank, Zakaria Ismail mengalami masalah kesihatan.
BEKAS pemain Terengganu dan Public Bank, Zakaria Ismail mengalami masalah kesihatan.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bagi meringankan beban yang ditanggung, satu perlawanan amal bakal dianjurkan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) bagi membantu bekas pemain Terengganu dan Public Bank, Zakaria Ismail yang mengalami masalah kesihatan.

Pengarah program, Mohd Nizam Hashim berkata, aksi amal itu bertujuan untuk membantu Zakaria yang baharu sahaja menjalani pembedahan di bahagian tengkoknya baru-baru ini.

Ujarnya, Zakaria bukan saja pernah mewarnai kancah Liga Malaysia suatu ketika dulu, malah beliau juga pernah bergelar jurulatih dengan membawa pasukan Selangor beraksi dalam Piala Emas Raja-Raja.

"Kita akan mengadakan perlawanan amal itu bagi mengumpul sumbangan untuk diserahkan kepada Zakaria.

"Jasa beliau untuk bola sepak negara dan PBMM cukup besar, jadi kami dengan inisiatif ini dapat meringankan bebannya," katanya.

Perlawanan amal itu dijadual berlangsung di Stadium Mini Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Jumaat ini jam 8.30 malam.

Aksi terbabit bakal menemukan pertemuan antara pasukan Veteran PBMM bertemu Kelab Sukan UPM, dengan ramai bekas pemain dijangka menyertai perlawanan itu.

Selain kutipan dana yang akan digerakkan pada perlawanan itu nanti, sumbangan juga boleh dibuat dengan mengkreditkan terus ke akaun Maybank Zakaria 164017081447.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:09 PM