PASUKAN KL Rovers. FOTO KL Rovers
PASUKAN KL Rovers. FOTO KL Rovers
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) muncul pasukan pertama dari Liga Malaysia yang disahkan menjadi milik pelabur dari luar negara dan ia disahkan Pengarah KL Rovers FC Sdn Bhd, Ashraf Mazlan.

Jelas Ashraf, individu yang berpangkalan di China berminat untuk bekerjasama dengan KL Rovers dan mereka menjadi sebahagian daripada pemegang saham pasukan itu.

"Betul, syarikat itu memiliki ibu pejabat di China tetapi mereka memiliki kilang di negara ini. Kita bekerjasama dengan mereka untuk membantu membangunkan KL Rovers.

"Mereka menunjukkan komitmen yang serius dan mahu menjadi antara pemegang saham utama pasukan ini," katanya

Terdahulu, Arena Metro melaporkan sebuah kelab di Lembah Klang dimiliki warga asing di mana pasukan terbabit sedang memohon Lesen Kebangsaan bagi membolehkan beraksi di Liga Super musim ini.

Menurut sumber, perjanjian itu sudah dimeterai pada 2 Februari lalu dengan dana permulaan sebanyak RM800,000 dan jumlah itu dijangka bertambah bagi memenuhi syarat ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Perkembangan terbaharu itu menunjukkan saingan Liga Malaysia (Liga M) kini sudah mula menampakkan petanda positif dengan penglibatan pelabur asing bagi memeriahkan kancah liga domestik.

Situasi itu sama seperti liga-liga luar negara khususnya di Eropah apabila kebanyakan kelab dimiliki oleh pemilik luar, sekali gus meningkatkan lagi nilai tambah komersial pasukan.

Ketika ini, kesemua kelab Liga M dimiliki oleh individu tempatan sama ada secara pemilikan tunggal mahupun secara konsortium.

Misalnya pasukan gergasi tanahair iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dimiliki sepenuhnya Tunku Ismail Sultan Ibrahim, manakala Perak FC pula hak milik syarikat telekomunikasi terkenal negara, XOX Berhad.

Selain itu, beberapa kelab Liga M lain mengamalkan konsep pemilikan saham secara bersama antara individu, syarikat swasta, Persatuan Bolasepak Negeri (FA) atau bersama agensi Kerajaan Negeri bagi membentuk sebuah konsortium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 1:38 PM