PENGERUSI Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) Nor Hasmadi Hamzah mahu KDA FC beri isyarat lebih jelas mengenai perkembangan pasukan untuk musim 2024. FOTO IZZALI ISMAIL
PENGERUSI Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) Nor Hasmadi Hamzah mahu KDA FC beri isyarat lebih jelas mengenai perkembangan pasukan untuk musim 2024. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyokong skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kecewa di atas sikap 'kunci mulut' pihak pengurusan Sang Kenari berkaitan perkembangan serta persiapan dalam menuju musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2024 yang akan bermula Mei depan.

Malah isu serta kemelut baki tunggakan gaji musim 2023 juga masih menjadi persolan utama dikalangan para penyokong Hijau Kuning yang sangat mengharapkan isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) Nor Hasmadi Hamzah berkata persiapan memulakan episod baharu dalam pembentukan pasukan dilihat begitu hambar dan tidak semeriah seperti biasa sebelum ini.

"Bukan kami nak 'busy body' berkaitan persiapan pasukan lain, tetapi jika dibandingkan Kedah yang dianggap gergasi utara ini dengan beberapa pasukan lain.

"Kedah dilihat sangat sepi tanpa kemeriahan sebarang pengumuman kemasukan pemain setakat ini melibatkan perkembangan yang perlu dihebahkan kepada penyokong.

"Perkara ini belum pernah terjadi sejak kelab kami ditubuhkan bermula awal 90an dahulu yang mana pada setiap awal musim, kami memulakan semangat yang baharu dengan perkembangan yang cukup positif berkaitan perkembangan pasukan.

"Perlu dingatkan kami sebagai penyokong merupakan pemain ke-12 yang turut serta menguatkan pasukan setiap musim dan kami juga mahu tahu sedikit sebanyak usaha yang sedang dijalankan pengurusan bagi memastikan langkah kami seiring dengan pasukan yang kami sayangi," katanya.

Nor Hasmadi juga berkata meskipun KDA FC mahu membuat kerja secara diam buat masa ini, pihak pengurusan kelab perlu memberi isyarat yang lebih jelas bagi memastikan tahap keyakinan para penyokong kekal teguh.

"Sikap membisu KDA FC setakat ini tidak memberi kelebihan dan mungkin boleh menyebabkan salah faham dikalangan penyokong dan perkara ini perlu ditangani KDA FC dengan lebih baik.

"Sebagai kelab penyokong berusia lebih 30 tahun, kami masih tidak berputus asa menantikan sebarang berita yang positif berkaitan perkembangan semasa pasukan, termasuk isu tunggakan gaji musim lalu yang akan diselesaikan mengikut apa yang dirancang sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 12:56 PM