ALVES masih boleh membuat rayuan. FOTO AFP
ALVES masih boleh membuat rayuan. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Mahkamah Sepanyol menjatuhkan hukuman penjara empat setengah tahun kepada bekas pemain antarabangsa Brazil, Dani Alves selepas didapati bersalah merogol seorang wanita muda di kelab malam Barcelona pada Disember 2022.

Pemenang tiga kali Liga Juara-Juara itu juga diarahkan menjalani pemantauan selama lima tahun selepas beliau menjalani hukuman penjara, dan menuntut bayaran €150,000 (RM777,636) sebagai pampasan kepada mangsa.

"Mangsa tidak bersetuju dan terdapat bukti di luar keterangan pengadu, bahawa ia adalah kesalahan merogol," jelas mahkamah Barcelona dalam satu kenyataan.

"Mahkamah menganggap bahawa defendan secara tiba-tiba merangkul pengadu, menolaknya ke lantai dan merogol, selain menghalangnya daripada bergerak, tatkala pengadu menolak perbuatan itu dan mahu melarikan diri."

Pendakwa raya meminta hukuman penjara sembilan tahun ke atas Alves yang berusia 40 tahun itu diikuti 10 tahun pemantauan.

Alves, yang memberi keterangan pada perbicaraannya bahawa hubungan seks dengan wanita itu secara suka sama suka, boleh membuat rayuan.

Antara pemain bola sepak yang paling terkenal di dunia yang bermain untuk Barcelona dan Paris Saint-Germain semasa karier terkenal, Alves dibicarakan awal bulan ini atas tuduhan merogol seorang wanita di kelab malam Sutton pada awal pagi 31 Disember 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:29 PM