AMIRUL sanggup membawa gambar arwah ayahnya pada perlawanan pertama Pahang Rangers. FOTO Ihsan PRFC
AMIRUL sanggup membawa gambar arwah ayahnya pada perlawanan pertama Pahang Rangers. FOTO Ihsan PRFC
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pemain Pahang Rangers FC, Muhammad Amirul Khairuddin meletakkan kejayaannya di pentas Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) kini sebagai hadiah paling penghargaan buat arwah bapanya.

"Ayah tidak sempat melihat kejayaan saya yang mula bermain dengan Kuala Lumpur FC ketika berusia 18 tahun. Pada 4 April 2020 ayah yang banyak memberi sokongan pada saya sebelum ini meninggalkan kami.

"Kini kejayaan saya dikongsi dengan mak dan kakak yang tidak jemu ke stadium memberi sokongan pada saya sejak dulu hingga kini," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai memperingati arwah ayah dia sanggup membawa gambar arwah ayah pada perlawanan pertama Pahang Rangers bertemu Shah Alam City di tempat lawan minggu lalu.

Pada perlawanan itu dia berjaya menyumbang satu gol untuk membantu Tok Gajah berkongsi mata dengan lawan.

Mengenai perlawanan kedua saingan MPFL bertemu Selangor FC, Ahad ini, Muhammad Amirul berkata dia perlu lebih fokus pada perlawanan yang dijangka mencabar itu kerana lawan mempunyai rekod menarik.

"Saya akan berusaha melakukan terbaik dalam memastikan Pahang Rangers mencatat keputusan yang diharapkan seterusnya dapat menggembirakan peminat.

"Peluang yang terhidang akan digunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan jaringan, dalam memastikan Pahang Rangers meraih kemenangan pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:46 PM