ADAM pemain berpengalaman dan serba boleh. FOTO Sri Pahang FC
ADAM pemain berpengalaman dan serba boleh. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) hari ini, mengesahkan pemain berpengalaman, Adam Nor Azlin sah menyertai Sri Pahang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) muism 2024/2025.

Pengumuman itu menerusi Facebook rasmi Sri Pahang FC, sekali gus menamatkan teka-teki Adam yang juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) memilih skuad Tok Gajah sebagai destinasi baharu.

"Pemain versatil berusia 28 tahun produk Harimau Muda dan turut berpengalaman menyarung jersi kebangsaan. Selamat datang Adam ke Darul Makmur," menerusi hantaran itu.

Dengan pengesahanan itu, kehadiran Adam diyakini akan membantu mengukuhkan lagi jentera pertahanan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

Pada masa sama, Sri Pahang sememangnya mahu memperkasakan skuad itu terutama dibarisi pemain berpengalaman selepas 11 pemain musim lalu tidak lagi bersama bagi saingan musim baharu itu.

Sebelum ini, nama Adam disebut-sebut berhijrah ke pasukan baharu dan antara pasukan yang dimaksudkan ialah Sri Pahang selepas tidak lagi bersama skuad Harimau Selatan

Pada masa sama, difahamkan, SPFC dikatakan akan mengumumkan beberapa lagi pemain termasuk import baharu dalam membentuk skuad yang lebih mantap dan mampu memberikan saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:16 PM