FERNANDEZ perkasa jentera serangan Gergagi Merah.
FERNANDEZ perkasa jentera serangan Gergagi Merah.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe menaruh harapan kehadiran peledak baharu, Ronnie Fernandez mampu menjadi jawapan kepada usaha merobek gawang lawan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jelas Cheng Hoe, kelebihan dimiliki Fernandez dalam menjaringkan gol akan memperkukuhkan barisan serangan pasukan untuk musim ini.

"Ronnie sangat berkebolehan menjaringkan gol terutamanya di bahagian dalam kotak. Dia mempunyai pengalaman bermain di beberapa negara sebagai 'target man' dalam kariernya, ini akan membantu menambah kekuatan dalam pasukan.

"Saya berharap Fernandez akan cepat menyesuaikan diri beliau bersama pemain-pemain lain dan menyelesaikan masalah serangan musim lalu," kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Untuk rekod, Fernandez yang berasal dari Chile sudah meledak 22 gol dan 10 bantuan gol dalam 92 aksi untuk Santiago Wanderers FC dari 2006 hingga 2016.

Dia selepas itu melebarkan sayapnya ke negara Arab Saudi untuk beraksi dalam saingan Saudi Pro League, King's Cup dan Saudi Crown Prince's Cup bersama Al-Fayha FC dari musim 2017/2018 sehingga 2020/2021.

Tahun pertama di Arab Saudi memberi impak positif kepada dirinya, di mana Fernandez dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Saudi Pro League dengan 13 jaringan.

Secara keseluruhan, dia berjaya menyumbang 25 jaringan gol dalam 59 perlawanan sepanjang bersama Al-Fayha FC. Ia sekali gus bakal dijadikan sandaran utama Red Giants dalam liga domestik serta saingan di peringkat Asia apabila Selangor FC bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 3:19 PM