Pemain Inter Milan Marko Arnautovic, Hakan Calhanoglu dan Lautaro Martinezn meraikan jaringan.
Pemain Inter Milan Marko Arnautovic, Hakan Calhanoglu dan Lautaro Martinezn meraikan jaringan.
AFP

Milan: Marko Arnautovic memastikan Inter Milan mempunyai kelebihan satu gol pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas menumpas Atletico Madrid 1-0 pada aksi awal pagi tadi.

Penyerang Austria itu yang dimasukkan untuk menggantikan Marcus Thuram ketika rehat dan merembat masuk gol kemenangan Inter dengan berbaki 11 minit perlawanan di San Siro selepas penjaga gol pelawat Jan Oblak gagal menangkap kemas percubaan Lautaro Martinez.

Pemain berusia 34 tahun itu berjaya mengubah kritikan dan ejekan penyokong kepada sorakan selepas beberapa kali gagal menyudahkan peluang sekali gus menyebabkan penyokong tuan rumah tertanya-tanya sama ada Inter boleh meraih kemenangan.

Lebih buruk apabila dia merembat tinggi satu peluang terbaik selepas sejam, penyudah buruk sebelum dan selepas dia gagal menyambut baik hantaran rakan sepasukannya.

"Ia pastinya satu daripada gol paling penting dalam karier saya," kata Arnautovic kepada Sky Sport.

"Dalam beberapa minggu kebelakangan saya banyak mensia-siakan peluang. Tetapi peminat dan pemain membuktikan mereka menyokong saya... Ia memberikan saya tenaga yang diperlukan untuk menjaringkan gol itu."

Arnautovic mengharungi masa sukar sejak kembali ke Inter daripada pinjaman di Bologna musim panas lalu dan kegagalan penyudah itu nyata mengecewakan penyokong.

Bagaimanapun, terima kasih kepadanya anak buah Simone Inzaghi, yang mendahului sembilan mata di puncak Serie A, mendahului tipis menjelang kunjungan ke Madrid apabila mereka berdepan Atletico pada aksi kedua 13 Mac depan.

Atletico mengamalkan corak lebih menyerang musim ini namun mereka dipaksa bertahan di San Siro, sesuatu yang lebih menggambarkan corak permainan yang sudah lama dipraktikkan pengendali Diego Simeone di Sepanyol.

Mereka gagal menangani Inter dan kini perlu mengatasi defisit satu gol dalam usaha layak ke suku akhir.

"Kami perlu bangkit, ada satu perlawanan masih tinggal dan kami akan melakukan segala yang mungkin untuk mara," kata Oblak kepada Movistar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 9:14 AM