MARQUEZ memberikan arahan kepada pemainnya ketika menentang Iran. FOTO AFP
MARQUEZ memberikan arahan kepada pemainnya ketika menentang Iran. FOTO AFP
AFP

Doha: Qatar menanggung risiko tinggi ketika menggantikan jurulatih Carlos Queiroz dengan Tintin Marquez hanya sebulan sebelum Piala Asia 2024 tetapi kini mereka hanya selangkah untuk mempertahankan gelaran.

Skuad tuan rumah mara ke final menentang Jordan malam esok selepas menewaskan Iran 3-2 dalam aksi sengit separuh akhir di Doha kelmarin.

Marquez dari Sepanyol hanya mula bertugas pada akhir Disember lalu tetapi tempoh sedekad bekerja sama dengan persatuan bola sepak Qatar sebelum itu melancarkan lagi misinya untuk memperkuatkan pasukan.

Mereka kini hanya satu lagi perlawanan untuk mempertahankan gelaran Asia selepas kecewa tersingkir di peringkat kumpulan sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Marquez berkata 'jalan mereka tidak mudah' dan dia memberikan kredit kepada pemainnya yang membantu sepanjang 'perjalanan' mereka.

"Pemain menerapkan arahan, falsafah dan idea saya di atas padang. Mereka berhak mendapat pujian saya," kata pengendali berusia 62 tahun itu.

"Kami ada satu lagi halangan terakhir untuk melengkapkan objektif besar kami."

Qatar menjuarai Piala Asia kali pertama pada 2019 di bawah kendalian seorang lagi jurulatih dari Sepanyol Felix Sanchez yang kemudiannya tewas semua tiga perlawanan Piala Dunia, rekod terburuk pasukan tuan rumah dalam sejarah kejohanan.

Queiroz mengambil alih selepas pemergian Sanchez namun keputusan perlawanan mereka tidak konsisten dengan Qatar tewas 0-4 kepada Iran dalam aksi persahabatan terakhir di Jordan pada Oktober lalu.

Bekas pengurus Real Madrid Queiroz berpisah dua bulan kemudian dan pengurusan bola sepak Qatar memilih Marquez menggantikannya.

Marquez menggunakan semua 26 pemain dalam skuadnya pada saingan peringkat kumpulan menyaksikan Qatar menang semua tiga perlawanan tanpa bolos sebarang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 8:20 AM