DYBALA (kanan) menjaringkan dua gol ketika Roma menang 4-0 ke atas Cagliari, awal pagi tadi. FOTO AFP
DYBALA (kanan) menjaringkan dua gol ketika Roma menang 4-0 ke atas Cagliari, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Milan: Paulo Dybala menjaringkan dua gol ketika Roma menang 4-0 ke atas Cagliari di Stadio Olimpico, awal pagi tadi, yang juga kemenangan ketiga berturut-turut Serie A di bawah kendalian Daniele De Rossi.

Kelab di ibu negara Itali itu yang memecat bekas jurulatih, Jose Mourinho, bulan lalu, kini ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga keempat, Atalanta, sekali gus menghidupkan peluang ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.

Peranan tunggal De Rossi sebelum ini adalah ketua jurulatih SPAL di Serie B.

Kemenangan 2-1 ke atas pasukan sedang bergelut, Verona dan pasukan tercorot, Salernitana menyaksikan Roma semakin stabil dan prestasi ketika membelasah Cagliari jelas semakin baik.

Lorenzo Pellegrini menjaringkan gol pada minit kedua sebelum mengumpan kepada Dybala untuk gol kedua Roma pada pertengahan babak pertama.

Penyerang Roma, Romelu Lukaku menyaksikan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid sebelum sepakan penalti diberikan kepada Cagliari ditarik semula selepas reviu Video Bantuan Pengadil (VAR).

Roma memperoleh sepakan penalti apabila bola terkena tangan lima minit selepas rehat dan Dybala mudah menyempurnakannya untuk gol liga kelapan pada musim ini.

Pemain remaja, Dean Huijsen menanduk masuk gol keempat dan gol Lukaku sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 10:56 AM