PEMAIN KDA FC, Moses Atede (dua dari kiri) meraikan jaringan kemenangan bersama rakan sepasukan ketika menentang Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang tahun lalu.
PEMAIN KDA FC, Moses Atede (dua dari kiri) meraikan jaringan kemenangan bersama rakan sepasukan ketika menentang Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang tahun lalu.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: "Bank telefon hampir setiap hari, macam mana kami nak bayar gaji belum dapat."

Itu antara sebahagian luahan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila mereka terus menanti bagaikan meminta sedekah untuk mendapatkan hak mereka selepas beberapa bulan mengalami tunggakan pembayaran gaji.

Menurut sumber, pihak pengurusan tidak memberi sebarang maklum balas berkenaan isu itu sebalikya hanya berdiam diri sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Malah ada di antara pemain terpaksa menggunakan wang simpanan peribadi untuk melunaskan bayaran dengan pihak bank.

"Bank telefon hampir setiap hari, macam mana kami nak bayar gaji belum dapat. Kami hanya boleh kata tarikh tertentu kepada bank seperti mana mereka memberi janji kepada kami untuk selesaikan bayaran tertunggak itu.

"Bank ada tempoh bayaran perlu kita selesaikan, kalau tidak nanti bank akan bagi notis dan sebagainya tapi kami nak bayar macam mana kalau kami sendiri tiada duit untuk menyelesaikannya.

"Malah ada di antara kami juga terpaksa kerana tiada pilihan menggunakan wang simpanan peribadi untuk menyelesaikan tunggakan bagi mengelak terjadi sesuatu yang lain pula nanti," kata sumber.

Selain itu, isu tunggakan yang hampir empat bulan ini memberi kesan amat mendalam bagi mereka yang berkeluarga dari pelbagai aspek.

"Isu tak dapat gaji ini memang memberi kesan, macam mana kami nak bagi keluarga kami makan. Saya pun sama macam orang lain, bank sentiasa 'call' meminta untuk selesaikan tunggakan yang ada dengan pihak mereka," kata sumber.

Sementara itu, tinjauan Arena Metro mendapati pemain bawah 23 tahun (B-23) turut mengalami nasib sama apabila isu tunggakan gaji itu menjejaskan kehidupan seharian mereka termasuk dari segi membayar komitmen bulanan.

"Kami pun belum dapat apa-apa 'update' terkini dari pihak pengurusan. Dulu CEO ada cakap berkenaan gaji, dia hanya sentuh pasukan Liga Super dan Piala Presiden tapi B-23 dia tak sentuh langsung sedangan kami pun tak dapat bayaran lagi.

"Kami pun empat bulan tak terima gaji itu memang memberi kesan sangat besar. Malah ada di antara kami pun terima panggilan dari bank. Kalau gaji dibayar mengikut masa, kita boleh selesaikan komitmen itu," kata sumber.

Terdahulu Arena Metro melaporkan krisis tunggakan gaji membabitkan KDA FC masih tidak menemui titik penyelesaian, malah situasi semakin mencengkam.

Malah bekas jurulatih KDA FC, Azraai Khor Abdullah berharap pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil segera untuk menjelaskan situasi sebenar apa yang terjadi dan tidak hanya berdiam seribu bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:05 PM