RIVA (kiri) berbincang dengan pemain skuad kebangsaan Itali, Fabio Cannavaro (tengah) dan penjaga gol, Gianluigi Buffon pada sesi latihan di Euro 2008. FOTO FAIL AFP
RIVA (kiri) berbincang dengan pemain skuad kebangsaan Itali, Fabio Cannavaro (tengah) dan penjaga gol, Gianluigi Buffon pada sesi latihan di Euro 2008. FOTO FAIL AFP
Reuters

Rom: Luigi 'Gigi' Riva iaitu penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan Itali meninggal dunia pada usia 79 tahun, umum Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) dalam satu kenyataan, awal pagi tadi.

Riva yang dianggap antara penyerang terbaik sepanjang zaman dengan penampilan fizikal dan rembatan padu membolehkannya diberi julukan 'Rombo di Tuono' apabila meledak 35 gol dalam 42 aksi untuk Itali.

Riva dikatakan kurang sihat di rumahnya di Sardinia, hujung minggu lalu dan disyaki mengalami masalah jantung.

Dia antara anggota skuad Itali yang memenangi Kejohanan Eropah pada 1968 dan beraksi di Piala Dunia 1970 apabila Itali muncul naib juara kepada Brazil yang disertai Pele.

"Saya gementar dan sangat sedih. Bola sepak Itali bermuram kerana ikon kebangsaan sudah meninggalkan kami," kata Presiden FIGC, Gabriele Gravina.

Kenyataan FIGC memaklumkan, tempoh diam seminit bagi memperingati pemain itu akan diadakan pada semua perlawanan hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 10:19 AM