PEMAIN Aston Villa, Zaniolo menanduk masuk gol penyamaan untuk mengikat Sheffield United. FOTO Reuters
PEMAIN Aston Villa, Zaniolo menanduk masuk gol penyamaan untuk mengikat Sheffield United. FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Aston Villa, Unai Emery mendakwa sistem video bantuan pengadil (VAR) "keterlaluan" apabila menyaksikan pasukannya gagal naik ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas sekadar terikat 1-1 dengan Sheffield United awal pagi tadi.

Villa yang berpeluang naik selaku pendahulu sekiranya menang terpaksa mengigit jari selepas pelawat yang hadir selaku kelab tercorot liga berjaya membawa pulang satu mata dari gelanggang Villa itu.

"Saya amat gembira dan terlalu bangga dengan pemain saya. Amat sukar untuk mengekalkan rekod kemenangan kami. Mereka bertahan dengan amat bagus.

"Saya sering kali menerima keputusan VAR. Tetapi hari ini saya rasakan ia keterlaluan. Tidak perlu membuat semakan dua atau tiga kali pada babak pertama. Dan gol itu, ia tidak perlu. Biasanya kami boleh menerima gol sebegini.

"Kami kecewa dengan keputusan hari ini tetapi kami terpaksa menerimanya. Kami perlu fokus kepada perlawanan berikutnya menentang Manchester United, ia pasti luar biasa," katanya selepas aksi itu.

Villa yang menang 15 aksi terakhir di tempat sendiri dalam saingan EPL musim ini terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan Cameron Archer pada minit ke-87 menerusi percubaan jarak dekat.

Pemain gantian Zaniolo bagaimanapun menyelamatkan satu mata buat Villa menerusi tandukan pada minit ketujuh masa kecederaan.

Hasil keputusan seri itu, Villa kekal di tempat ketiga di belakang Arsenal dan Liverpool di mana kedua-dua pasukan akan turun berentap untuk mengesahkan kedudukan di puncak liga sebelum cuti perayaan Krismas Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 9:00 AM