Penyerang TFC, Ivan Mamut (kanan) mahu hadiahkan kemenangan terakhir buat peminat setia TFC - Ghazali Kori
Penyerang TFC, Ivan Mamut (kanan) mahu hadiahkan kemenangan terakhir buat peminat setia TFC - Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas gagal membantu Terengganu FC (TFC) merangkul Piala Malaysia dan layak ke separuh akhir Piala (Konfederasi Bolasepak Asia) AFC, penyerang skuad itu, Ivan Mamut idam menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan noktah kemenangan.

Jelas pemain berketinggian 1.92 meter itu, hanya kemenangan menentang Perak FC pada aksi terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok mampu meredakan sedikit kedukaan itu.

Pemain yang baharu musim ini menyertai skuad Penyu itu turut menyimpan impian untuk menghadiahkan kemenangan terakhir buat peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan padu buat pasukan.

Bagaimanapun pemain yang memakai jersi nombor 7 itu sedar skuad The Bos Gaurus yang dibimbing Yusri Che Lah adalah lawan yang berbeza dan bukannya sama ketika skuadnya menang 3-0 pada aksi pusingan pertama Jun lalu.

"Perlawanan terakhir liga pada musim ini sudah pasti saya mahu menamatkan saingan dengan kemenangan selain mahu hadiahkan kemenangan itu kepada peminat yang sentiasa menyokong kami biarpun dalam cuaca hujan.

"Kemenangan itu penting buat kami bagi menjaga reputasi sebagai naib juara Piala Malaysia pada musim ini biarpun tidak memberikan kesan dalam kedudukan liga sama ada menang ataupun kalah.

"Justeru saya menuntut rakan sepasukan dapat memberikan aksi lebih 100 peratus bagi memastikan tiga mata dapat diperoleh lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

"Secara peribadi saya juga idam untuk menambah koleksi jaringan dalam saingan liga lebih-lebih lagi musim pertama bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M)," kata Mamut yang sudah meledak 10 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 12:21 PM