Pemain JDT, Endrick Dos Santos (kiri) dan Safiq Rahim (kanan) sedang giat menjalani latihan bagi persiapan terakhir menentang Penang FC pada aksi Liga Super di Stadiun Sultan Ibrahim, petang esok.
Pemain JDT, Endrick Dos Santos (kiri) dan Safiq Rahim (kanan) sedang giat menjalani latihan bagi persiapan terakhir menentang Penang FC pada aksi Liga Super di Stadiun Sultan Ibrahim, petang esok.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Aksi terakhir Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan Penang FC bakal menjadi kenangan terindah sempena sambutan besar-besaran bagi menyambut sedekad dominasi kelab meraih kejuaraan Liga Super ke-10.

Sambutan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok, sudah pasti mahu diwarnai kemenangan buat skuad Harimau Selatan dengan pengendali pasukan itu, Esteban Solari mahu mencorak taktikal permainan yang ampuh untuk meraih kemenangan positif.

Pengendali kelahiran Argentina itu tetap menghormati barisan pemain Penang FC dan merancang akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan hasrat mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 26 perlawanan tidak tercalar.

"Sudah tentu ia perlawanan penting dan tidak akan melepaskan peluang memastikan kemenangan pada aksi terakhir liga musim ini tapi kami tidak boleh terlalu ghairah sebaliknya mengambil pendekatan berwaspada dengan corak permainan Penang.

"Cuma kami tidak dapat menurunkan Shane (Lowry) dan Corbin (Ong) kerana tidak mahu mengambil risiko memandangkan mereka masih belum pulih sepenuhnya akibat cedera dan terbaru Oscar (Arribas) turut mengalami nasib sama.

"Kami tidak boleh memandang remeh Penang FC selepas mereka bangkit mengikat Terengganu FC 1-1, baru-baru ini dan ini menunjukkan barisan pemain pasukan itu berkualiti dan memilik semangat juang yang tinggi," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan melakukan penggiliran pemain tatkala ia aksi terakhir liga, Solari hanya berkata kesebelasan utama akan ditentukan sebelum perlawanan dan tonggak yang diturunkan harus mengekalkan intensiti permainan yang tinggi.

"Hong Wan akan kembali memperkuatkan barisan tengah selepas tidak beraksi menentang BG Pathum akibat di gantung satu perlawanan dan dia bakal digandingkan bersama Afiq (Fazail) selain Heberty (Fernandes) atau Juan (Muniz) memperkuatkan posisi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 12:43 PM