UNITED tak peduli khabar angin pemain tidak menyokong Ten Hag. FOTO AFP
UNITED tak peduli khabar angin pemain tidak menyokong Ten Hag. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Mengendalikan Manchester United untuk musim kedua, Erik ten Hag akan berusaha membuktikan skuadnya masih di landasan tepat menjelang kunjungan Chelsea pimpinan Mauricio Pochettino pagi esok.

Red Devils berada di tempat ketujuh (8-6-0, 24 mata) menyaksikan kemenangan tiga perlawanan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka dihentikan hujung minggu lalu berikutan kekalahan 0-1 di Newcastle United.

Di sebalik prestasi terpuji liga baru-baru ini, keputusan mengecewakan dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menyumbang kepada khabar angin ketidakpuasan hati dalam skuad.

Ten Hag menegaskan bahawa cerita sedemikian tidak berdasarkan realiti, dan usaha yang ditunjukkan dalam perlawanan baru-baru ini - walaupun keputusan bercampur-campur adalah bukti pasukannya berada pada landasan tepat.

"Majoriti mahu bermain seperti ini - proaktif, dinamik, berani - itulah yang mereka mahukan," katanya.

"Anda boleh lihat pemain berada di belakang saya kerana persembahan menentang Everton dan Galatasaray, kami benar-benar bertambah baik, kami tidak boleh membuat gol yang kami lakukan menentang Everton jika pemain tidak menerimanya."

United menang 3-0 di Everton pada dua perlawanan liga lalu dan berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 menentang Galatasaray berikutan prestasi tidak menentu daripada penjaga gol, Andre Onana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 11:52 AM