AKSI Maguire (kanan) ketika menentang Newcastle.
AKSI Maguire (kanan) ketika menentang Newcastle.
Agensi

London: Harry Maguire percaya Manchester United perlu bermain dengan corak lebih pantas selepas mereka menjadi pasukan kedua terbaik ketika menentang Newcastle semalam.

Red Devils dijinakkan di St James oleh Magpies yang menewaskan United 1-0 hasil jaringan Anthony Gordon sekali gus memastikan kedudukan Newcastle di atas pesaingan mereka itu dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketika Maguire, 30, mengakui Newcastle lebih baik dan berhak meraih kemenangan, dia juga akur kegagalan rakan sepasukannya menyaingi corak permainan lawan.

"Mereka kecewa," katanya kepada MUTV. "Saya tak fikir kami bermain pada tahap sebenar dan ia minggu yang sukar. Tiga aksi di tempat lawan, enam hari tetapi itu bukan alasan. Kami memang tidak beraksi dengan baik terutama pada babak pertama.

"Kami bertambah baik pada babak kedua dan mungkin mendapat satu pada penghujung perlawanan. Kami menekan mereka pada 10 hingga 15 minit terakhir tetapi tidak cukup.

"Saya fikir kami bertahan dengan baik. Kawasan lain kami benarkan mereka masuk terlalu jauh dengan mudah, jadi ia sesuatu yang kami perlu beri tumpuan sebagai satu pasukan.

"Tetapi kami tak bermula dengan baik dan kami dapati sukar meningkatkan tempo selepas itu. Kami tahu corak Newcastle. Mereka gemar memberikan tekanan dan beraksi dengan pantas terutamanya di St James' Park," kata Maguire.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:23 PM