COOLS (no 11) tampil meleraikan pergaduhan dan tidak terbabit dalam insiden berkenaan. FOTO Ihsan ASEAN Soccer
COOLS (no 11) tampil meleraikan pergaduhan dan tidak terbabit dalam insiden berkenaan. FOTO Ihsan ASEAN Soccer
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sikap tenang Dion Cools disamping tidak beremosi serta mahu menyelamatkan rakan sepasukannya daripada terbabit dalam insiden tumbuk menumbuk mendapat pujian peminat di laman sosial.

Cools yang juga pemain skuad Harimau Malaya bertindak 'matang' apabila tidak terbabit dalam pergaduhan selepas berakhirnya aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Pusat Sukan Huzhou Olimpik, malam tadi.

Dalam aksi itu, kelab diwakili Cools iaitu Buriram United tumbang 2-3 kepada pasukan Zhejiang FC dalam aksi penting buat kedua-dua pasukan bagi menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan berikutnya.

Menerusi video pendek berdurasi 2 minit 45 saat yang tular di laman sosial itu mendapati rakan sepasukan Cools, Ramil Sheydayev dibelasah oleh pemain tuan rumah ekoran provokasi oleh pemain Buriram United selepas kekalahan itu.

Cools yang melihat insiden itu segera membantu dengan cuba menyuraikan pergaduhan terbabit sekali gus tindakannya mendapat pujian peminat tanah air.

Ada yang melabelkan Cools sememangnya seorang pemain yang tenang dan bijak apabila tidak menyertai pergaduhan itu.

Seorang peminat dikenali Adrary Ardz akui bimbang jika Cools terbabit dalam pergaduhan itu, tonggak pertahanan negara itu mungkin boleh dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan boleh digantung sekali gus terlepas aksi Piala Asia di Qatar, Januari ini.

"Fuh nasib Dion (Cools) tak buat perkara bodoh. Risau kena gantung. Sebulan lagi Piala Asia, ketua pasukan jaga kaki...jaga sikap," tulis Adrary Ardz di ruangan komen.

"Semoga Dion Cools terus 'Cool'," kata Faz IvVan Mfh, begitu juga Hafiz Yaakob, "Cools terlalu tenang."

Izkram Ibrahim pula menulis," Dia (Cools) nak leraikan tapi kena marah pulak. Baran betul dia orang ini (pemain Zhejiang FC)," katanya.

Dijangka, AFC bakal mengenakan hukuman buat pemain-pemain yang terbabit dalam insiden itu yang mencemarkan prestij ACL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 1:26 PM