AGBA (tiga dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO FB PDRM FC
AGBA (tiga dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO FB PDRM FC
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: PDRM FC membawa bekalan selesa selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Kuching City FC pada final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Tiga gol pada separuh masa kedua itu pastinya memberi kelebihan buat skuad The Cops untuk menjulang kejuaraan sulung di pentas Liga Malaysia itu.

Manakala tugas sukar menanti Kuching City di hadapan penyokong sendiri bagi menterbalikkan keputusan itu pada perlawanan kedua, Ahad ini.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan buntu menemui jaring untuk mengakhiri babak pertama tanpa sebarang gol.

Tuan rumah yang dibimbing Datuk Yunus Alif tampil lebih mengancam pada baki 45 minit babak kedua apabila meraih tiga gol menerusi Nabil Latpi, Uche Agba dan kapten, Amir Saiful Badeli, masing-masing pada minit 54, 69 dan 78.

Anak buah Aidil Sharin Sahak cuba bangkit, namun keampuhan benteng PDRM FC mengecewakan kem pelawat.

Untuk rekod, Piala Cabaran adalah saingan buat pasukan yang tidak dapat beraksi di Piala Malaysia yang dimulakan pada musim 2018.

Juara sulung adalah Terengganu FC II pada 2018 sebelum diikuti Johor Darul Ta'zim (JDT) II, setahun kemudian.

Bagaimanapun ia terpaksa dihentikan selama tiga musim ekoran pandemik Covid-19 sebelum dipertandingkan semula pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 11:07 PM